Palang Merah salur bantuan kecemasan

SEOUL, 10 SEPT – Palang Merah Antarabangsa berkata ia kini menyalurkan bantuan kecemasan kepada Korea Utara yang bergelut untuk pulih daripada kemusnahan akibat badaian Taufan Lingling pada hujung minggu, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan Twitter badan sukarela antarabangsa itu.

Menerusi satu tweet semalam, Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata pasukannya kini ‘menilai kerosakan serta keperluan’ di kampung-kampung Korea Utara dan mengagihkan ‘khemah, selimut, peralatan perlindungan, kit kebersihan dan bekalan dapur kepada keluarga yang terjejas.’

Sebelum ini IFRC telah memperuntukkan sejumlah 56,000 franc Swiss sebagai bantuan kecemasan untuk Korea Utara.

Pada Ahad, media rasmi negara itu melaporkan bahawa Taufan Lingling telah meragut lima nyawa dan mencederakan tiga lagi. Ia turut menyebut bahawa angin kencang dan hujan lebat yang mengiringi taufan itu turut mengakibatkan tanaman rosak dan beratus-ratus kediaman musnah, sambil menambah bahawa usaha pemulihan sedang dijalankan di seluruh negara. – Bernama