MANILA, 6 MAC – Kerajaan tempatan di sebuah wilayah Filipina yang kaya dengan sumber alam telah mengundi sebulat suara untuk melaksanakan larangan selama 50 tahun ke atas permit perlombongan baharu, satu keputusan yang menurut penyokongnya tidak boleh dibatalkan oleh Manila.
Wilayah Palawan, yang merupakan ‘rezervat biosfera’ UNESCO yang terkenal dengan flora dan fauna yang pelbagai, telah menjadi tumpuan perlombongan kerana kerajaan negara berusaha untuk memperluaskan bahagian pasarnya bagi mineral seperti nikel, yang merupakan komponen utama dalam bateri kenderaan elektrik.
Namun, penduduk tempatan semakin membantah cadangan perlombongan baharu, dengan kumpulan alam sekitar dan aktivis menekankan kesan-kesan seperti penebangan hutan, banjir dan pemindahan masyarakat asli.
Pada masa ini, terdapat 11 lombong yang beroperasi di Palawan, tetapi banyak permohonan sedang menunggu kelulusan.
Peguam alam sekitar Grizelda Anda, yang bekerja untuk menyokong undian kelmarin, berkata Manila tidak akan dapat membatalkan keputusan kerajaan tempatan secara sah, yang kini menunggu tandatangan gabenor.
“Akta Perlombongan Filipina 1995 menyatakan bahawa awda perlu mendapatkan sokongan daripada LGU (unit kerajaan tempatan),” katanya.
Larangan permit baharu itu juga mengenakan jeda selama 25 tahun ke atas permohonan untuk memperbaharui atau meluaskan lesen perlombongan.
Lombong yang sedia ada boleh meneruskan operasi “selagi ia tidak meningkatkan pengeluaran mereka” atau berpindah ke kawasan baharu, tambah Anda. – AFP
