Monday, July 14, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Palestin, Hamas kecam veto AS terhadap resolusi PBB

    HAMILTON/PALESTIN, 5 JUN – Palestin dan kumpulan Hamas kelmarin mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza.

    Kedua-duanya menuduh Washington menjadi penyumbang utama kepada penderitaan berterusan di wilayah yang dilanda perang itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata kepada Majlis bahawa draf resolusi itu mempunyai ‘matlamat mudah’ iaitu menghentikan bencana kemanusiaan di Gaza serta membolehkan pembebasan tawanan dan tahanan, selain pengunduran tentera Israel.

    “Draf ini sudah terlalu lama tertangguh. Ia seharusnya membuka jalan untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai, menghentikan kebuluran terancang dan memastikan bantuan kecemasan sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata Mansour.

    Beliau berkata hampir dua juta penduduk Palestin, termasuk sejuta kanak-kanak, kini berada ‘di ambang kebuluran’ dan terperangkap dalam kawasan terhad, “yang jelas untuk memudahkan pengusiran dan pengilhakan mereka.”

    Mansour juga menggesa Israel menamatkan apa yang disifatkan sebagai ‘kepungan zalim dan haram’ serta membuka semua lintasan untuk memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa halangan.

    Beliau turut menggesa negara anggota PBB supaya mengambil langkah bebas di peringkat negara bagi menghentikan jenayah terhadap kemanusiaan yang berlaku di Gaza.

    “Ini perlu dan mesti dihentikan,” tegasnya sambil menekankan bahawa agensi PBB dan kemanusiaan mesti dibenarkan beroperasi sepenuhnya di Gaza.

    Beliau turut memetik keputusan mahkamah antarabangsa dan resolusi PBB yang mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa serta melakukan jenayah perang.

    “Bolehkah Majlis berbuat sesuatu mengenainya?” soal beliau.

    Mansour turut mengesahkan isu ini akan dibawa ke Perhimpunan Agung PBB dalam beberapa hari akan datang.

    Dalam kenyataan berasingan, kumpulan Hamas mendakwa veto AS itu adalah sokongan langsung terhadap apa yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai oleh Israel’ terhadap rakyat Palestin.

    Hamas menyifatkan tindakan veto tersebut sebagai, “satu pendirian angkuh yang mencerminkan penghinaan AS terhadap undang-undang antarabangsa dan penolakan mutlak terhadap sebarang usaha antarabangsa untuk menghentikan pertumpahan darah rakyat Palestin.”

    Hamas mendakwa veto itu memberi ‘lampu hijau’ kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, “untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas di Gaza,” dan menuduh Washington sebagai ‘bersekongkol sepenuhnya’ dalam perang itu.

    Draf resolusi berkenaan, yang dibentangkan oleh Slovenia bagi pihak 10 anggota Majlis Keselamatan yang dipilih, menerima 14 undi menyokong.

    AS pula menjadi satu-satunya negara yang menggunakan kuasa veto, kali kelima ia dilakukan sejak Oktober 2023 bagi resolusi gencatan senjata di Gaza. – Bernama/Anadolu

    Riyad Mansour bercakap semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB untuk mengundi resolusi yang menyeru gencatan senjata dan akses kemanusiaan tanpa had di Gaza, di ibu pejabat PBB di New York City pada 4 Jun 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda