SEOUL, 20 NOV – Son Heung-min berkata Korea Selatan harus dipersalahkan dan boleh belajar daripada pasukan lawan, Palestin selepas terikat seri 1-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
Korea Selatan masih berada di landasan yang betul untuk Piala Dunia 2026 di Amerika Utara tetapi keputusan seri kelmarin di Jordan membuatkan kapten, Son berasa kecewa.
Palestin membuat kejutan dengan mendahului perlawanan seawal minit ke-12 di Amman apabila Zaid Qunbar memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan Bayern Munich, Kim Min-Jae.
Son menyamakan kedudukan empat minit kemudian dengan gol ke-51 untuk negaranya dan walaupun pasukan pelawat mendominasi selepas itu, Palestin bijak bertahan sehingga akhir permainan.
“Saya fikir kami membuat perlawanan agak sukar kerana kesilapan kami, tetapi walaupun selepas dibolosi, kami berjaya bangkit dan segera menyamakan kedudukan,” kata Son kepada wartawan.
“Jika kami memanfaatkan semua peluang kami, kami pasti boleh menang, jadi saya berasa sedikit menyesal tentang itu.”
Korea Selatan masih memimpin Kumpulan B dengan berbaki empat perlawanan dalam fasa kelayakan, dengan dua teratas layak ke Piala Dunia.
Palestin berada di kedudukan tercorot kumpulan tetapi impian mereka untuk Piala Dunia buat kali pertama belum berakhir, dengan pasukan yang menamatkan di kedudukan ketiga dan keempat memasuki fasa kelayakan tambahan.
Anak penyerang Spurs berusia 32 tahun itu mempunyai kata-kata semangat untuk Palestin, yang bermain dan berlatih di luar negara kerana perang di Gaza.
“Saya mahu memberi tepukan gemuruh kepada pasukan Palestin,” katanya.- AFP