RAMALLAH, 1 MEI – Sempena Hari Pekerja Sedunia, Setiausaha Agung Persekutuan Kesatuan Sekerja Am Palestin (PGFTU), Shaher Saad berkata puluhan ribu pekerja Palestin telah dinafikan gaji mereka sejak 17 bulan lalu, disaksikan masyarakat antarabangsa.
Menurut agensi berita Palestin (WAFA), Saad menjelaskan bahawa kadar pengangguran melonjak ketara dalam kalangan masyarakat Palestin, dengan jumlah penganggur mencecah 507,000 orang.
Dalam kenyataan kelmarin, beliau turut melaporkan bahawa ribuan pekerja telah ditahan, didera, diseksa dan menjadi mangsa kehilangan paksa, selain dikenakan denda oleh tentera Israel hanya kerana mencari rezeki, terutamanya sejak 7 Oktober 2023.
Beliau menambah ramai pekerja Palestin yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan di Israel terpaksa menjual barangan peribadi demi mendapatkan bantuan kewangan.
Saad menegaskan bahawa di kebanyakan negara di dunia, pekerja dilindungi skim perlindungan sosial dan insurans termasuk jaminan sosial. Namun, beliau mendedahkan bahawa 89 peratus pekerja Palestin tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan sosial atau dana pencen.
Beliau menyifatkan pengangguran, kemiskinan dan kebuluran sebagai tema utama Hari Pekerja di Palestin tahun ini.
Tambahnya, kerugian kewangan bulanan yang ditanggung para pekerja dianggarkan mencecah AS$371.2 juta. – Bernama
