GAZA, PALESTIN, 5 DIS – Presiden Palestin Mahmud Abbas semalam berikrar untuk kekal teguh menentang penjajahan Israel yang berlanjutan selama beberapa dekad.
Dalam ucapannya menerusi siaran televisyen di bandar Ramallah, Tebing Barat, Abbas berkata pencerobohan Israel akan ditentang dengan kaedah meluaskan penentangan secara aman termasuk tindakan di peringkat antarabangsa, lapor agensi Anadolu.
“Rakyat Palestin tidak akan menyerah dan akan tetap teguh menentang pendudukan Israel,” katanya.
Pihak Berkuasa Palestin akan meneruskan usaha di peringkat antarabangsa ‘untuk memaksa Israel menamatkan pendudukan dan menghentikan pencerobohannya,’ dan meminta Israel bertanggungjawab atas pencabulannya terhadap Palestin, katanya. – Bernama
