CRAMALLAH, 25 APRIL – Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) kelmarin telah mengumumkan pembentukan jawatan naib presiden di bawah kepimpinan Mahmoud Abbas, 89 tahun, yang belum menamakan pengganti.
Keputusan daripada Majlis Pusat PLO ini diambil ketika Abbas mencari peranan yang lebih besar dalam perancangan pasca-perang untuk Semenanjung Gaza selepas beliau diketepikan dalam perang Israel-Hamas yang masih berterusan.
Selepas mesyuarat dua hari, majlis tersebut mengundi untuk mewujudkan jawatan timbalan pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PLO.
Jawatan itu juga akan dikenali sebagai naib presiden negara Palestin, yang mana Palestin berharap akan diiktiraf sepenuhnya oleh komuniti antarabangsa suatu hari nanti.
Diharapkan sesiapa yang memegang jawatan tersebut akan menjadi calon utama untuk menggantikan Abbas, walaupun masih tidak jelas bila atau bagaimana jawatan tersebut akan diisi. Abbas akan memilih naib presiden daripada kalangan 15 ahli jawatankuasa eksekutif PLO yang lain.
PLO diiktiraf secara antarabangsa sebagai wakil rakyat Palestin dan mengawasi Autoriti Palestin yang disokong Barat, yang menjalankan autonomi terhad di kurang daripada separuh Tebing Barat yang diduduki Israel. Abbas telah memimpin kedua-dua entiti tersebut selama dua dekad.
Beliau masih dianggap sebagai pemimpin Palestin di peringkat antarabangsa dan sebagai rakan dalam usaha untuk menghidupkan semula proses damai, yang terhenti apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kembali menyandang jawatan itu pada tahun 2009.
Negara-negara penderma Barat dan Arab telah menuntut pembaharuan dalam negara Palestin agar ia memainkan peranan dalam Gaza selepas perang. – AP
