Wednesday, July 3, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Pamer, asah bakat dalam papan selaju

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 24 JUN – Pemain papan selaju dari seluruh Daerah Belait berkumpul di Taman Luncur berhampiran Lagun Kampung Pandan untuk menunjukkan kemahiran dan bakat mereka sebagai sebahagian daripada acara yang diadakan sempena sambutan antarabangsa Go Skateboarding Day (GSD), kelmarin.

    Dianjurkan oleh Komuniti Papan Selaju Kampung Pandan 7 dan komuniti papan selaju lebih luas di daerah berkenaan, acara itu bertujuan untuk mempamerkan dan mempromosikan sukan tersebut sambil menyediakan platform bagi menunjukkan dan mengasah bakat papan selaju di seluruh daerah.

    Salah seorang ketua penganjur dan ahli komuniti papan selaju, Pengiran Saiful Bahrin bin Pengiran Haji Ahmad ketika ditemui menjelaskan bahawa komuniti papan selaju di Kampung Pandan 7 telah menganjurkan acara seumpama itu setiap tahun sejak tiga tahun lalu.

    “Pada mulanya, ia hanyalah perhimpunan pemain veteran dari Daerah Belait. Ini kemudiannya berkembang perlahan-lahan untuk merangkumi golongan belia, kerana mereka menyaksikan aktiviti bermain papan selaju yang berterusan ini memberikan inspirasi kepada mereka bagi menyertainya,” jelasnya.

    Antara aktiviti kemuncak acara itu ialah Pertandingan Street League Skateboarding (SLS) yang dibahagikan kepada dua segmen, bermula dengan dua larian berasingan yang berlangsung selama satu minit di mana pemain melakukan sebanyak mungkin helah yang mahir, diikuti dengan lima percubaan untuk melakukan helah yang terbaik, dengan larian dan helah terbaik diambil kira bagi keputusan akhir.

    Aktiviti-aktiviti lain yang diadakan termasuk Perlumbaan Skate Terbuka dan Perlumbaan Skater Old Skool, di mana para peserta melengkapkan pusingan di sekitar taman untuk dinobatkan sebagai yang terpantas, di samping pameran dan pertandingan papan selaju jari.

    Selain pertandingan dan aktiviti yang diadakan itu, pelbagai vendor turut dijemput untuk membantu memeriahkan lagi suasana.

    Pengiran Saiful Bahrin berharap, acara itu akan terus memberikan inspirasi dan merangsang komuniti papan selaju dalam berkongsi minat dan semangat yang sama untuk sukan itu, serta mewujudkan platform bagi sukan itu berkembang bagi generasi muda.

    ATAS & BAWAH: Antara peserta yang mengikuti pertandingan tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kes tikam: Remaja 14 tahun ditahan

    SYDNEY, 2 JULAI – Polis Australia telah menahan seorang remaja berusia 14 tahun hari ini ekoran insiden tikaman yang tidak membawa maut, mendorong kampus...