Gambar serahan Darussalam Assets
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Darussalam Assets Sdn Bhd dan Print Plus Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) untuk mempamerkan karya-karya seni pelajar Pusat Ehsan sekali gus mengumpul dana amal.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, hari ini, kad-kad ucapan dan paket Hari Raya yang direka khas dengan menampilkan karya-karya seni berwarna-warni oleh para pelajar Pusat Ehsan telah dicetak oleh Print Plus bagi Darussalam Assets bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Sebahagian besar hasil daripada jualan kad-kad ucapan dan paket berkenaan disumbangkan kepada Pusat Ehsan semalam untuk menyokong wawasan mereka bagi membolehkan komuniti berkeperluan khas Brunei Darussalam menjalani kehidupan dengan lebih bermakna. Sumbangan berkenaan akan digunakan untuk menyediakan latihan, bantuan dan penjagaan bagi individu-individu berkeperluan khas.
Kenyataan menyatakan, kerjasama berkenaan juga berfungsi sebagai platform untuk menunjukkan bakat-bakat kreatif para pelajar Pusat Ehsan.
Rekaan-rekaan pada kad dan paket berkenaan adalah hasil karya Dayang Nurbatrisya binti Haji Eddie, Dayang Norazira Siawling binti Pudarno, Miguelangelo Q Dimanlig dan Emelina Anak Tunik.
Pengurus Besar Print Plus, Awang Muhammad Reeda bin Haji Malik dipetik berkata, “Inisiatif ini adalah batu loncatan bagi impak lebih bermakna yang ingin kami capai, seperti bekerjasama dengan kanak-kanak berkeperluan khas. Kami tidak sabar untuk lebih banyak kerjasama dalam masa terdekat.”
Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku ketua pegawai eksekutif Darussalam Assets pula dipetik berkata, “Selama ini, Darussalam Assets telah memupuk perhubungan bermakna dengan Pusat Ehsan, menjadi penderma bagi Special Needs Student Adoption Scheme dan secara aktif mengambil tahu akan kemajuan pembelajaran dan perkembangan pelajar di Pusat Ehsan.
“Menerusi inisiatif-inisiatif bersama seperti ini, Darussalam Assets bermatlamat untuk dapat melabur lebih baik kepada keperluan pelajar serta mengenal pasti peluang-peluang yang boleh menyokong lagi pusat berkenaan dan komuniti berkeperluan khas.
“Memupuk hubungan komuniti adalah sesuatu yang penting bagi Darussalam Assets.
Mewujudkan masa depan yang lebih baik bukan sekadar melabur ke dalam sektor mapan dalam ekonomi, malah melaksanakan tonggak-tonggak teras tanggungjawab sosial korporat kami,” tambah beliau.
Haji Khairuddin, Awang Muhammad Reeda dan Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini bin PDNLDR Pengiran Haji Abdul Momin serta perwakilan-perwakilan kanan lain hadir pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan.
Pusat Ehsan adalah pertubuhan amal bukan kerajaan yang komited untuk memberikan pendidikan, pemulihan dan program-program latihan berkualiti bagi individu-individu berkeperluan khas.
Wawasan mereka adalah untuk membolehkan komuniti berkeperluan khas untuk menjalani kehidupan lebih bermakna dalam masyarakat. Program-program Pusat Ehsan menyokong setiap individu berkeperluan khas dalam pendidikan, latihan dan pemulihan fizikal.