Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Dalam usaha memperkukuh hubungan budaya antara Brunei Darussalam dan Republik Turkiye, Kedutaan Republik Turkiye petang tadi telah mengadakan majlis interaktif kedua anjuran Institut Yunus Emre (YEE) yang memfokuskan kepada seni Ebru dan kaligrafi Riq’ah serta diadakan khas bagi pegawai- pegawai kanan kerajaan di ibu negara bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid serta isteri, timbalan menteri, setiausaha tetap, pegawai kanan kerajaan dan para jemputan lain.
Sehubungan itu, dua kursus seni tradisional Turkiye iaitu seni marbling air Ebru dan kaligrafi gaya Riq’ah juga dijadualkan bermula pada 4 Ogos tahun ini.
Pengumuman tersebut telah disampaikan oleh Duta Besar Republik Turkiye ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy.
Dalam ucapannya, TYT Profesor Dr Hamit Ersoy turut merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan atas kehadiran dan sokongan yang diberikan, yang menurut beliau telah menyerikan dan memberi makna istimewa kepada majlis tersebut.
“Kehadiran Yang Berhormat dan para tetamu kehormat mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ikatan budaya antara kedua-dua negara. Ini bukan sekadar penghormatan, tetapi juga satu inspirasi bagi kami,” ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa kedua-dua kursus yang ditawarkan itu memberikan peluang kepada orang awam untuk lebih mendalami warisan budaya Turkiye, khususnya melalui seni yang kaya dengan nilai spiritual dan sejarah.
“Seni Ebru, tarian warna di atas air, bukan sekadar keindahan visual tetapi juga satu bentuk zikir yang diamalkan oleh ramai penggiat seni ini. Setiap karya Ebru adalah unik – tiada satu pun yang sama,” jelas beliau.
Menyentuh mengenai kaligrafi Riq’ah, Tuan Yang Terutama menjelaskan bahawa ia merupakan gaya tulisan rasmi Istana Uthmaniyyah yang bukan sahaja mempunyai nilai artistik tetapi juga fungsi sejarah dan penyelidikan yang tinggi.
Pengarah YEE Brunei, Lale Ersoy, yang turut memberikan penerangan pada majlis itu, menyatakan bahawa kursus tersebut bukan sahaja bersifat pembelajaran tetapi juga sebagai penghayatan terhadap nilai-nilai budaya dan kerohanian yang menjadi teras kepada seni tradisional Turkiye.
Majlis interaktif berkenaan turut memberikan peluang kepada para tetamu kehormat untuk menyaksikan demonstrasi secara langsung seni Ebru serta mencuba sendiri menghasilkan karya unik mereka.
TYT Duta Besar Turkiye turut merakamkan penghargaan kepada BKISHHB yang menjadi hos rasmi kursus tersebut serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) atas sokongan berterusan terhadap program-program kebudayaan yang dijalankan.