Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan unggul, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menerusi Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura telah menghoskan Keluarga Genesis iaitu sebuah keluarga selebriti Singapura bagi lawatan pengenalan ke Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, Keluarga Genesis berada di Brunei bagi lawatan selama empat hari tiga malam, untuk memberikan mereka pengalaman langsung tawaran untuk Brunei Darussalam sebagai sebuah destinasi pelancongan.
Sebagai tokoh berpengaruh, keluarga berkenaan telah dijemput untuk meneroka warisan budaya yang kaya, alam semula jadi yang indah dan tawaran pengembaraan menarik di negara ini.
Dengan menyelami tarikan dan budaya tempatan, Keluarga Genesis memperoleh pandangan yang berguna mengenai bagaimana Brunei dapat meningkatkan tarikannya kepada Singapura serta juga pelawat antarabangsa sambil memupuk hubungan pelancongan yang lebih kukuh di antara Singapura dan Brunei.
Semasa lawatan mereka, Keluarga Genesis telah mengikuti lawatan berjadual ke Daerah Temburong di mana pengembaraan bermalam di daerah itu meliputi aktiviti-aktiviti seperti memancing udang galah, rock climbing, ziplining dan lawatan ke air terjun di mana mereka melakukan spa ikan.
Mereka juga berpeluang untuk berinteraksi bersama masyarakat setempat sambil menyelami keindahan budaya tradisional Rumah Panjang.
Perjalanan mereka diteruskan ke Bandar Seri Begawan semasa Bandarku Ceria di mana mereka berpeluang untuk berjalan-jalan di persekitaran bandar dan merakamkan detik-detik kenangan indah.
Pengembaraan Keluarga Genesis juga termasuk persiaran sungai untuk menyaksikan dengan lebih dekat Kampong Ayer dan monyet bangkatan di dalam habitat semula jadi.
Mereka juga melawat ke Muzium Alat Kebesaran Diraja untuk mempelajari mengenai warisan diraja Brunei dan melawat Pusat Penyelidikan Botani UBD bagi lawatan sambil belajar mengenai kehidupan tumbuh-tumbuhan unik Brunei.
Sementara itu, mereka turut menikmati warisan kulinari Brunei termasuk hidangan ambuyat, hidangan tempatan di restoran serta makanan tradisional di Pasar Malam Gadong.
Keluarga Genesis mengakhiri lawatan mereka dengan menyampaikan penghargaan bagi hospitaliti mesra, budaya kaya dan landskap indah Brunei. Mereka memuji destinasi berkenaan atas keseimbangannya dari segi santai, pengembaraan, mendalami budaya dan peluang pembelajaran yang menjadikannya sebagai pengalaman pengembaraan keluarga yang amat bermakna.
Salah satu sorotan utama semasa lawatan mereka merupakan penginapan di sebuah resort tepi pantai yang mewah dan peluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti keluarga yang menarik di sekeliling hotel berkenaan, menjadikan lawatan mereka amat sukar untuk dilupakan.
Sejak 2023, Jabatan Kemajuan Pelancongan telah menghoskan lebih 20 pempengaruh daripada pelbagai negara termasuk Dubai, Australia, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Negara Brunei Darussalam juga melaksanakan beberapa inisiatif untuk meneroka masuk ke pasaran Singapura di mana pada awal 2023, jabatan berkenaan telah menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman dengan National Association of Travel Agents Singapore (NATAS) bagi kerjasama pelancongan serta mengambil bahagian dalam NATAS Holidays di mana Brunei diberikan penghormatan sebagai Rakan Kongsi Destinasi.
Di samping itu, jabatan berkenaan juga melancarkan kempen-kempen digital dengan kerjasama Agoda, Expedia dan TripAdvisor untuk meningkatkan keberadaan Brunei dalam platform global.
Selain itu, kerjasama dengan Singapore Airlines (SQ) juga dapat memanfaatkan kesalinghubungan SQ yang meletakkan kedua-dua Singapura dan Brunei sebagai destinasi dwi.
Sehingga Oktober 2024, Negara Brunei Darussalam telah mengalu-alukan seramai 15,607 orang pelancong dari Singapura yang mengatasi jumlah keseluruhan 2023 yang mencatatkan seramai 9,203 orang pelawat Singapura.
Bergerak ke hadapan, jabatan berkenaan berhasrat untuk meneruskan usahanya dengan lebih banyak mengadakan kempen dan projek pada tahun-tahun mendatang.
Inisiatif-inisiatif berkenaan dijangka akan meningkatkan hasil pelancongan dan menaikkan lagi kedudukan Brunei sebagai sebuah destinasi pilihan.