Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Dalam usaha untuk mengetengahkan bakat luar biasa dan kepakaran pelajar dalam teknologi automatif, Pertandingan Kemahiran Automotif IBTE 2025 berjaya diadakan di IBTE Kampus Mekanikal, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh IBTE, di sini, pertandingan berkenaan diadakan dalam dua fasa, bermula dengan ujian teori dalam talian pada 14 Februari lalu.
Seramai 23 orang pelajar Program Sijil Pendidikan Teknikal Tinggi Kebangsaan (HNTec) dalam Teknologi Automotif mendaftar bagi ujian berkenaan, dengan enam pelajar mara ke pertandingan kemahiran amali yang diadakan pada 24 April.
Pertandingan itu bermatlamat mengenal pasti dan memupuk bakat dalam teknologi automotif, menyediakan platform bagi pelajar-pelajar untuk mempamerkan kemahiran teknikal serta mempromosikan kecemerlangan dalam industri automotif sambil menyokong matlamat Brunei dalam pendidikan teknikal dan vokasional.
Enam orang pelajar yang mara ke pertandingan kemahiran itu ialah Awang Mohammad Bukhari Haziq bin Hadiwana, Awang Abdul Faeez bin Rosdi, Awang Muhammad Akmal Faiq bin Haji Junaidi, Awang Mohammad Adib Hakim bin Haji Jamil, Awangku Muhd Nur Faiq Wazien bin Pengiran Haji Yahya dan Awang Muhammad Rafi’ Rafa’ie bin Abdullah.


Pertandingan itu mengetengahkan tiga pusingan amali di mana Peringkat 1 menumpukan kepada Electrical and Electonics On-Vehicle Variable Readings dengan enam orang peserta manakala Peringkat 2 menguji Inspecton of Cylinder Head Warpage dengan empat orang peserta dan Peringkat 3 yang merupakan peringkat akhir, melibatkan On-Vehicle Engine Diagnosis (Compression Test) dengan tiga orang peserta.
Peringkat-peringkat berkenaan mencabar para peserta untuk mempamerkan kemahiran praktikal dan ilmu pengetahuan mereka dalam tugasan automotif dunia sebenar.
Pertandingan itu berakhir dengan Awang Mohammad Bukhari Haziq memenangi tempat pertama, Awang Abdul Faeez di tempat kedua dan Awang Muhammad Akmal Faiq di tempat ketiga.
Hadir untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pengetua IBTE Pusat, Awang Armi Durani bin Haji Durhman yang turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan memuji dedikasi serta kemahiran mereka.
Acara itu bukan sahaja mengetengahkan keupayaan teknikal bakat automotif muda Brunei tetapi juga menggariskan pentingnya pendidikan vokasional dalam membentuk tenaga kerja masa depan dalam sektor automotif.
Ia juga mercu tanda signifikan dalam memupuk pembangunan kemahiran dan mempromosikan industri automotif di Brunei.