Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pamer kreativiti, inovatif dalam cerita berkumpulan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Kumpulan Anak Brunei dari Mahad Islam Brunei yang mempersembahkan cerita bertajuk Malasku Ingau muncul sebagai johan pada Pertandingan Cerita Berkumpulan 2024 Peringkat Akhir yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.

    Pada pertandingan itu johan telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $600 dan sijil penyertaan.

    Naib juara dimenangi oleh Kumpulan Ashabul Yamin dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang membawakan cerita bertajuk Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) Pegangan Hidup dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $500 dan sijil penyertaan.

    Tempat ketiga pula disandang oleh Kumpulan Bangkutut Caradik dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dengan mengetengahkan cerita bertajuk Bangkutut. Mereka menerima hadiah wang tunai sebanyak $400 dan sijil penyertaan.

    Tetamu kehormat yang menghadiri pertandingan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH: Antara persembahan daripada kumpulan yang bertanding. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Pertandingan anjuran DBP melalui Bahagian Perpustakaan bertemakan Jati Diri Warisan Budaya itu merupakan projek tahunan DBP yang dikhususkan kepada remaja berumur 12 hingga 20 tahun di mana ia juga merupakan kesinambungan daripada Pertandingan Mari Bercerita.

    Pertandingan itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kebijaksanaan dan perkembangan minda serta ilmu pengetahuan para peserta sama ada melalui bahan bacaan, pendengaran, penglihatan seterusnya melakonkannya dengan cara tersendiri.

    Selain itu, ia menyediakan arena latihan dan kerja berpasukan kepada para belia dan remaja untuk menjadi warga Brunei yang berwibawa, kreatif dan inovatif.

    Sebanyak enam buah kumpulan telah menyertai Pertandingan Cerita Berkumpulan Peringkat Saringan yang telah diadakan selama dua hari, iaitu pada 4 hingga 5 Jun lalu.

    Kumpulan tersebut terdiri daripada para pelajar dari sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi termasuk pihak perseorangan. Tiga buah kumpulan terbaik daripada enam buah kumpulan tersebut mara ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara.

    Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda