Pamer kreativiti kartunis tempatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Pameran Seni Komik Kami Urang Brunei yang dirasmikan di Galeri Seni Dermaga Diraja di ibu negara, hari ini, mengetengahkan 31 orang kartunis tempatan yang mempamerkan hasil lukisan kreatif mereka.

Pameran anjuran BirdHouse Studio Brunei yang dibuka untuk kunjungan orang ramai sehingga 23 April itu telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Sejurus pelancaran pameran itu, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan melihat hasil kreatif dan beramah mesra bersama kartunis tempatan.

Pemangku Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit ketika ditemu bual mengongsikan bahawa terdapat perkembangan dan peningkatan dalam industri seni kreatif di negara ini dan Pameran Kami Urang Brunei yang menunjukkan hasil kerja dan bahan kreatif kartunis tempatan adalah salah satu daripadanya.

“Salah satu perkara yang menarik perhatian ialah penglibatan golongan belia yang benar-benar berminat dan mempunyai nilai kerja yang tinggi yang mana pameran hari ini mempunyai nilai komersial setara dengan apa yang dilihat di negara maju,” tambahnya.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyaksikan secara lebih dekat hasil karya kartunis tempatan.
Antara hasil karya kartunis tempatan yang dipamerkan di pameran tersebut.

Menurutnya lagi, perkembangan ini adalah perkembangan positif dan ia akan mampu menjadi sumber besar untuk menjana ekonomi negara sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui industri seperti industri kreatif dan industri kebudayaan.

“KKBS sentiasa membuka dan memberi ruang kepada belia untuk bergiat aktif dalam pelbagai bidang,” tambah beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa kementerian dalam proses menghidupkan atau mewujudkan sebuah akademi seni dan budaya yang khususnya memberi platform kepada belia untuk mempelajari dan mendekati dari segi akademik seterusnya menambahkan pengalaman khusus dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

Mengulas lanjut mengenai kualiti kartunis yang dihasilkan oleh anak tempatan ini, beliau berkata, kualiti adalah yang terhebat di mana ia dapat dilihat melalui beberapa penerbitan dalam media tempatan seperti media cetak dan terbitan buku-buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka hasil daripada kartunis tempatan, yang mana ini dapat dibanggakan.

Sepanjang pameran itu, beberapa aktiviti turut diadakan seperti bengkel, mewarna dan berjumpa dengan kartunis yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad di mana pelajar dan belia dialu-alukan untuk berkunjung ke pameran tersebut.

Turut hadir pada majlis perasmian pameran berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.