Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pamer semangat juang tinggi di SUKMA’

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Negara Brunei Darussalam akan menyertai Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA), Sarawak 2024 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos.

    Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SUKMA telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada ketua kontinjen ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Pertama, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tengku Muhammad Faiz bin Tengku Sulaiman; Setiausaha Tetap (Kesukanan), KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan, persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta ibu bapa dan penjaga para atlet.

    Dalam kata alu-aluan, Pengiran Mohammd Amirrizal menyatakan SUKMA ke-21 yang dianjurkan oleh Negeri Sarawak akan melibatkan penyertaan kira-kira 15,000 orang atlet dan pegawai daripada 15 buah kontinjen termasuk Kontinjen Negara Brunei Darussalam.

    Kejohanan itu akan melibatkan sembilan bahagian kluster yang akan mempertandingkan sebanyak 37 acara sukan, jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly selaku chef de mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SUKMA ke-21. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal, Hajah Nor Ashikin, Haji Mohamad Rosfazilah serta atlet-atlet negara bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau berkata Kontinjen Negara Brunei Darussalam akan menghantar seramai 88 orang yang terdiri daripada 61 orang atlet iaitu 39 orang atlet lelaki dan 22 orang atlet wanita, 13 orang jurulatih dan 14 orang pegawai urus setia termasuk chef de mission, assistant chef de mission, ketua urus setia, pegawai perubatan, pegawai urus setia, pegawai perhubungan dan kakitangan perubatan.

    Pada SUKMA edisi kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai 11 acara sukan iaitu sukan akuatik (renang), e-Sukan, olahraga, taekwondo, wusyu, bola jaring, catur, sepak takraw, karate, lawan pedang dan pencak silat.

    Pengiran Mohammad Amirrizal menyatakan harapan agar para atlet akan terus komited menjalani latihan intensif yang dianjurkan oleh para jurulatih dalam usaha untuk memberikan yang terbaik dan saingan yang hebat semasa bertanding nanti bagi mencapai prestasi yang cemerlang dan meraih pingat.

    “Diharapkan para atlet juga akan sentiasa menunjukkan semangat kesukanan yang baik dan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan ini dijalankan serta patuh kepada semua peraturan kejohanan.”

    Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi kepada Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly selaku chef de mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SUKMA ke-21, Sarawak 2024.

    Penglibatan Negara Brunei Darussalam dalam temasya SUKMA adalah sebagai pasukan jemputan di mana pertama kali negara mengikutinya adalah pada 1996 iaitu SUKMA ke-VI yang berlangsung di Negeri Pahang, Malaysia.

    Hingga ke hari ini, negara telah berjaya memperoleh lima pingat emas, 14 pingat perak dan 30 pingat gangsa. Pencapaian terbaik negara adalah pada 2004 di Negeri Sembilan dengan meraih satu pingat emas, lima pingat perak dan lima pingat gangsa.

    Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai SUKMA adalah pada 2022 di MSN, Kuala Lumpur, Malaysia dengan memenangi dua pingat perak dan dua pingat gangsa.

    Kontinjen negara dijangka bertolak secara berperingkat-peringkat bermula 9 Ogos.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda