Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa yang diraikan setiap tahun pada 9 Jun, Jabatan Muzium-muzium melalui Arkib Negara Brunei Darussalam mengadakan Pameran Wajah Brunei: Menyusuri Memori di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja dengan majlis pelancarannya berlangsung hari ini.
Dengan tema #ArkibDapatDiAkses – Arkib Untuk Semua, pameran itu menekankan kepentingan keterbukaan dan akses maklumat arkib yang inklusif kepada semua lapisan masyarakat. Ia membuktikan bahawa warisan dokumentasi negara bukan hanya disimpan, tetapi dikongsi dan dihidupkan kembali melalui naratif yang mudah didekati dan difahami oleh generasi kini dan akan datang.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan majlis pelancaran pameran berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Jabatan Muzium-muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, yang juga selaku pengerusi majlis yang antaranya menekankan komitmen dalam memelihara memori warisan sejarah dan menjadikan arkib sebagai sumber ilmu yang mudah diakses oleh semua.
Pameran tersebut mengetengahkan perjalanan sosioekonomi negara melalui dokumen, foto dan rakaman lisan yang bernilai, sekali gus menjadi jambatan antara masa lalu dan masa depan bagi memupuk penghayatan warisan serta memperkukuh jati diri dan identiti kebangsaan.
Pameran itu dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama sebulan, bermula hari ini hingga 26 Julai di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja. Beberapa aktiviti sampingan turut akan diadakan setiap Sabtu, sepanjang pameran dijalankan seperti Program Kenali Wajah Brunei yang mana program itu akan memberikan pendedahan mengenai sosioekonomi Brunei melalui aktiviti yang akan disediakan.
Di samping itu, satu forum akan diadakan pada bulan Julai bersempena Hari Arkib Antarabangsa 2025.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi luar negara di Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan warga arkib serta pengurus rekod di jabatan kerajaan dan warga Jabatan Muzium-muzium.



