KUALA TERENGGANU, 11 Okt – Kira-kira 50,000 orang telah mengunjungi pameran barangan dan artifak Rasulullah SAW anjuran kerajaan negeri dan sebuah syarikat pengurusan acara, DragonHeart Sdn Bhd, yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) sejak 22 September lalu.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali berkata kedatangan pengunjung yang begitu ramai termasuk dari Pahang dan Kelantan membuktikan pameran sebegini mampu membawa umat Islam mendapat pengetahuan kisah dan peribadi baginda Rasulullah serta para sahabat ketika menyebarkan syiar Islam.
“Apa yang penting pengajaran yang kita dapat ambil daripada kisah-kisah di sebalik pelbagai artifak yang dipamerkan dan dijadikan sumber inspirasi dan pengajaran di sebalik kisah-kisah perjuangan baginda serta para sahabat dalam menyebarkan syiar Islam.
Kerajaan negeri amat menyokong diadakan pameran seumpama ini kerana apabila kita mengetahui sedikit sebanyak sejarah dan maklumat berkaitan barangan yang dipamerkan itu kita mendapat keberkatan daripadanya,” kata beliau kepada pemberita selepas sesi tinjauan mesra di pameran itu hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan DragonHeart Sdn Bhd, Datuk Anuar Hassan dan Penasihat penganjuran, Profesor Dr Abd Manan Embong.

Sementara itu, Anuar berkata berdasarkan kedatangan pengunjung terkini, pihaknya yakin sasaran 100,000 pengunjung dapat dicapai pada hari terakhir pameran iaitu 23 Oktober ini.
“Kita sebenarnya mempunyai lebih 70 artifak berkaitan tetapi hanya 22 artifak istimewa yang tidak dipamerkan di negeri lain tetapi dibawa ke Terengganu seperti bekas untuk meminum susu dan air ‘jemuju’ (ubat) Rasulullah.
“Untuk di Terengganu juga kita memberi harga tiket lebih rendah berbanding negeri lain iaitu dewasa RM 10 dan dan kanak-kanak RM5,” katanya.
Katanya, pameran seumpama itu pernah diadakan di beberapa lokasi seperti Melaka, Putrajaya, Kelantan, Kedah, Johor Bahru, Shah Alam, Brunei dan Singapura. Terengganu adalah negeri ke-11.
“Antara barangan lain yang dipamerkan kepada pengunjung nanti ialah rambut Rasulullah SAW, darah bekam, capal, tapak kaki, serban dan tongkat. Barangan para Sahabat pula lebih kepada senjata seperti pedang,” katanya.
Katanya, bagi membawa masuk barangan tersebut pihaknya meminjam dari beberapa negara iaitu Jordan, Arab Saudi, India dan Syria dengan kos RM270 juta untuk bayaran insurans dan perbelanjaan. – Bernama