Oleh Salawati Haji Yahya
BANDRA SERI BEGAWAN, 9 NOV – Taklimat Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri telah diadakan kelmarin di Ruang Legar Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Taklimat ini merupakan salah satu program dalam Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri anjuran kolaborasi bersama lima buah agensi dan persatuan iaitu, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS (Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Kehakiman Negara; Jabatan Mufti Kerajaan; Jabatan Ukur dan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD).
Sesi Taklimat pertama bertajuk Penetapan Awal Bulan-Bulan Hijrah di Negara Brunei Darussalam telah disampaikan oleh Pegawai Ugama Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara Haji Abdul Muhaimin bin Awang Haji Damit.
Pemangku Juruukur Kanan, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman, seterusnya memberikan taklimat bertajuk Penglihatan Anak Bulan / Hilal di Negara Brunei Darussalam.
Manakala, Muhammad Husaini bin Ali Hassan, Ahli Eksekutif PABD pula berkongsi mengenai pengalaman mencerap Hilal dalam taklimat tersebut.

Antara objektif utama Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai termasuk para pelajar sekolah dan penuntut institusi-institusi pendidikan mengenai proses dan kaedah pencerapan Hilal dalam ajaran Islam.
Di samping memaparkan peranan dan keutamaan Hilal dalam menentukan tarikh-tarikh penting dalam takwim Islam yang diamalkan di NBD seperti awal bulan Ramadan bagi penentuan ibadah puasa, anak bulan Syawal bagi penentuan Hari Raya Aidilfitri dan penentuan bulan Zulhijah bagi hari wukuf Arafah dan Hari Raya Aidiladha.



Antara lain tujuan taklimat ini untuk mengetahui dan mempelajari kaedah-kaedah penentuan awal bulan hijri yang diguna pakai oleh negara-negara lain seperti kaedah kriteria MABIMS, Rukyah (Saudi Arabia) dan kaedah ketinggian anak bulan di atas ufuk dan sudut elongasi (jarak lengkung) antara matahari dan bulan (Turkiye).
Dalam masa yang sama, aktiviti-aktiviti seperti ini juga diharapkan dapat memberikan kefahaman kepada orang ramai khususnya warga dan penduduk tetap NBD mengenai dengan kaedah penentuan anak bulan hijri yang diamalkan di negara ini dan perbezaan kaedah yang diguna pakai di negara lain sekali gus menghilangkan tanggapan dan persepsi negatif orang ramai terhadap kredibiliti ketetapan rasmi anak bulan hijri khususnya bulan Ramadan, bulan Syawal dan bulan Zulhijah yang kadangkala berbeza dengan negara jiran.

