Monday, November 25, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran bantu serlah kreativiti masyarakat

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dalam menyediakan sebuah platform bagi masyarakat di negara ini yang berminat dalam bidang kulinari dan seni kraf tangan, Pameran Urusan Rumahtangga 2022 telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, kelmarin.

    Acara yang dikelolakan oleh Persatuan PERTIWI Daerah Tutong itu diadakan bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 Tahun, bagi membantu setiap lapisan masyarakat untuk mencurahkan kreativiti mereka menerusi kemahiran yang dimiliki.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada pameran berkenaan ialah isteri Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Hajah Siti Ainun Jariah binti Haji Mohamad Ja’afar.

    Kemeriahan pameran semakin dirasai apabila lebih 270 orang wanita dewasa dan remaja khususnya yang menetap di Daerah Tutong telah berjaya menampilkan sentuhan kreativiti mereka dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu masakan dan sayuran, kuih-muih dan gubahan kraf tangan dan bunga hidup.

    Pada tahun ini, pameran berkenaan buat julung kalinya membukakan penyertaan kepada kaum lelaki yang bermastautin di Daerah Tutong yang berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.

    Tetamu kehormat semasa menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pameran tersebut.
    Pameran Urusan Rumahtangga 2022 yang diadakan bagi membantu setiap lapisan masyarakat untuk mencurahkan kreativiti mereka menerusi kemahiran yang dimiliki.
    Salah satu gubahan kraf tangan menggunakan tuala berwarna merah jambu dan hijau sehingga tercetusnya idea peserta menjadikannya umpama sekuntum bunga yang mekar.
    Antara gubahan bunga hidup yang diketengahkan oleh para peserta.
    Rekaan gubahan kraf tangan daripada bahan-bahan terbuang seperti botol pewangi baju, tudung tin susu dan botol sabun mandian telah direka menjadi hiasan bunga berwarna-warni.

    Bagi kategori masakan dan sayuran ditetapkan kepada lapan jenis hidangan merangkumi udang, ikan, ayam, nasi pulut kuning, nasi briyani, sayur-sayuran kampung, jeruk-jerukan dan acar limau.

    Kategori kuih-muih pula terdiri daripada kuih Melayu, kek kukus, kek bakar dan kek cawan.

    Manakala bagi kategori gubahan ditetapkan kepada konsep gubahan bunga hidup, tuala, bahan-bahan terbuang, buah-buahan dan sirih junjung.

    Dalam pertandingan berkenaan penghakiman telah dibuat oleh hakim-hakim jemputan dari Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong yang mahir dalam bidang-bidang yang dipertandingkan.

    Pameran berkenaan turut bertujuan untuk mempromosikan persaingan sihat melalui pertandingan peserta yang terlibat, sekali gus ia juga mewujudkan pengalaman dan juga meningkatkan pengetahuan melalui perkongsian antara satu sama lain.

    Di samping itu juga, melalui pameran ini dapat membantu membina nilai-nilai positif di kalangan para peserta seperti keyakinan diri untuk mengendalikan perniagaan bagi sama-sama berusaha meningkatkan perekonomian diri dan keluarga dari semasa ke semasa.

    Dengan adanya kegiatan sedemikian ia juga secara tidak langsung mampu membuka minda seseorang untuk sentiasa berkembang dalam meningkatkan hasil karya mereka dengan lebih baik berbekalkan hasil penilaian yang dibuat oleh para juri dan orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda