Pameran, bazar kini dibenarkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Pameran atau bazar jualan akan mula dibenarkan pada 27 Julai ini dengan berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan dan hanya dibenarkan diadakan dalam gedung-gedung perniagaan sahaja.

Kebenaran bagi pameran jualan dan bazar di pusat-pusat persidangan atau dewan-dewan pula masih lagi dilarang, menurut Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Syarat-syarat bagi penganjur pameran jualan atau bazar, jelas Yang Berhormat Pehin, mereka dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth bagi tempat mengadakan pameran jualan atau bazar untuk diimbas oleh pengunjung sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis.

Selain itu, syarat-syarat lain adalah sama seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan iaitu pemeriksaan suhu badan, pensanitasi tangan, pekerja sihat, memakai penutup mulut dan hidung, penjarakan fizikal dan gerai pempamer tiga meter jaraknya serta memastikan kebersihan dan tempat jualan teratur.

Penganjur pameran jualan atau bazar hendaklah menghadapkan permohonan kepada pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui sistem Onebiz di mana sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi kementerian di talian 2223225 sambungan 331 atau menghubungi Talian Darussalam 123.

Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi bahawa mana-mana penganjur pameran jualan atau bazar yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan penganjur pameran jualan atau bazar juga dipohonkan untuk memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Manakala itu, bagi pengunjung pameran jualan atau bazar, Yang Berhormat Pehin menyatakan mereka harus memastikan penjarakan sosial dengan mematuhi garis panduan dan arahan-arahan yang dibuat oleh pihak kerajaan dan dipohonkan untuk memberikan kerjasama mematuhi arahan-arahan dan nasihat-nasihat yang ditetapkan itu dari semasa ke semasa.

Pameran atau bazar jualan hanya dibenarkan diadakan di gedung-gedung membeli-belah dan bukannya di dewan atau pusat persidangan. – Gambar oleh Muiz Matdani