Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengetengahkan inisiatif bermakna semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.
Sambutan berkenaan memperkukuhkan lagi peranan BIBD dalam usaha membina negara melalui program-program yang menyokong pertumbuhan, pemerkasaan dan akses kepada pendidikan.
Sebagai sebahagian daripada sambutan berkenaan, petak pameran BIBD telah berkenan dikunjungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang diiringi oleh ahli-ahli kerabat diraja. Keberangkatan Baginda telah dijunjung serta disembahkan taklimat oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri bersama barisan pengurusan kanan bank serta para peserta daripada program-program yang diketengahkan.
Inisiatif yang diketengahkan di pameran BIBD mencerminkan usaha berterusan bank dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat serta pembangunan negara. Sebagai salah sebuah institusi kewangan utama negara, BIBD tetap komited dalam menyokong kesejahteraan semua lapisan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan, melalui inisiatif yang membina keupayaan, menggalakkan daya usaha sendiri dan membuka peluang untuk berkembang.
Antara inisiatif berkenaan ialah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Masa Depan yang Berwawasan BIBD (BIBD ALAF), satu program pendidikan dan komuniti yang telah lama berjalan, bertujuan untuk memastikan semua kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang kewangan, mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang masa depan.

Program itu kini menyokong lebih daripada 340 pelajar, termasuk enam yang melanjutkan pengajian tinggi di luar negara iaitu di Australia, Malaysia dan Mesir. Selain bantuan kewangan, BIBD ALAF juga menyediakan sokongan penting seperti kelengkapan sekolah, pengangkutan dan makanan, di samping program pembangunan holistik yang memupuk pertumbuhan kerohanian dan kepimpinan, menggalakkan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, serta membina kemahiran masa depan untuk membantu pelajar cemerlang.
Turut diketengahkan ialah Program Pemerkasaan dan Pembangunan Usahawan Khas BIBD (BIBD SEED) yang menyediakan latihan keusahawanan dan sokongan pemantapan kepada wanita kurang berkemampuan. Kini memasuki kohort keenam, program yang memenangi anugerah dengan menyokong seramai 48 usaha wanita, membekalkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup serta menyumbang secara bermakna kepada ekonomi tempatan, dengan potensi untuk meneroka pasaran antarabangsa.
Komitmen BIBD terhadap keusahawanan tempatan turut diperlihatkan melalui Projek Tunas, iaitu satu kerjasama strategik bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Inisiatif tersebut direka sebagai pasar bersama bagi perusahaan mikro dan kecil, yang menghimpunkan usahawan dari empat kluster: BIBD SEED, program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di bawah kementerian tersebut, usahawan yang disokong oleh Yayasan, serta Konsortium Muallafpreneurs di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama. Inisiatif itu membuktikan sokongan BIBD terhadap pelbagai segmen masyarakat dan mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kewangan yang memahami aspirasi tempatan.
Pameran BIBD juga menampilkan Projek JUZWAB x BIBD, hasil kerjasama dengan Jabatan Zakat, Wakaf dan Baitulmal. Melalui Program Pemerkasaan Zakat (PROPAZ), inisiatif tersebut menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan, bagi membekalkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perusahaan yang lestari. Itu adalah satu lagi usaha penting BIBD dalam menjana kebergantungan kendiri dan maruah melalui pemerkasaan.
Keseluruhan inisiatif berkenaan mencerminkan dedikasi BIBD dalam menyokong aspirasi negara ini serta menegakkan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan keadilan sosial dan perlindungan kebajikan masyarakat. Ia juga mencerminkan sumbangan aktif bank tersebut dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam membina ekonomi yang dinamik dan inklusif di mana tidak ada yang terpinggir.
Melalui program tersebut, BIBD terus melaksanakan peranannya bukan sahaja sebagai institusi kewangan, tetapi juga sebagai rakan kemajuan yang dipercayai, berpaksikan kepada nilai-nilai belas ihsan, tanggungjawab, dan khidmat kepada negara.