Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Bagi mewujudkan kesedaran mengenai pembangunan industri halal tempatan, Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menganjurkan Pameran Brunei Halal 2017 (BruHAS 2017) dan juga Seminar Antarabangsa mengenai Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban Kedua (SAPPHAT) 2017.
Pelancaran pameran di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong itu telah disempurnakan oleh Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.
BruHAS 2017 merupakan bukti usaha Brunei Darussalam dalam membangun dan mengembangkan industri halal tempatan.
Antara lain tujuan BruHAS 2017 adalah bagi mendedahkan produk dan perkhidmatan halal tempatan dan juga bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam usaha perniagaan mereka untuk menjadi kompetitif di peringkat antarabangsa dan menjadi pemain global.
Dekan Fakulti Syariah dan Perundangan UNISSA, Dr. Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin selaku Pengerusi Bersama BruHAS 2017, dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa BruHAS 2017 yang diadakan selama tiga hari mengandungi empat aktiviti utama iaitu Ekspo Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban (EKSPPHAT); SAPPHAT II; Dialog BruHAS mengenai Sijil Halal dan Perintah Label Halal (Pindaan) 2017 dan Logistik Halal; dan Klinik Halal.
Jelasnya lagi, EKSPPHAT akan berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini hingga 25 Ogos ini dan sebanyak 54 peserta yang terdiri daripada syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan yang berpangkalan di Brunei Darussalam dari industri makanan, kosmetik, pakaian, produk isi rumah dan penyedia perkhidmatan halal mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan.
Manakala itu, SAPPHAT II diadakan hari ini dan esok, 24 Ogos dengan menampilkan empat pembentangan utama dan 10 pembentang yang berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai hal-hal yang berkaitan dengan Halalan Thayyiban.
Kemuncak seminar adalah forum bertajuk ‘Memperkasakan Industri Halalan Thayyiban Asas Pembentukan Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur’ yang bermaksud untuk memberi kuasa kepada Industri Halalan Thayyiban (menguraikan sesuatu yang baik, sihat dan dengan kualiti) sebagai asas dalam membentuk sebuah negara yang ‘aman dan damai yang diberkati oleh Allah Yang Maha Kuasa’.
Di pameran berkenaan, dialog mengenai Sijil Halal dan Perintah Label Halal (Pindaan) 2017 dan Logistik Halal juga akan diadakan pada sebelah pagi 25 Ogos ini.
Manakala itu, Klinik Halal BruHAS pula merupakan sesi terbuka dan interaktif bagi orang ramai untuk menyiasat subjek yang berkaitan dengan permohonan halal, garis panduan dan piawaian halal, pelaburan halal, dan analisis halal.
“Pakar dan pegawai dari Bahagian Kawalan Makanan Halal Kementerian Hal Ehwal Ugama, UNISSA dan Pusat Sains dan Metrologi Kementerian Kesihatan akan hadir untuk membantu dan memberikan nasihat yang pakar. Kedua-dua dialog BruHAS dan Klinik Halal terbuka kepada orang ramai,” jelas Dr. Hajah Mas Nooraini.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penyertaan terutamanya orang ramai, supaya mereka dapat mempertingkatkan lagi usaha untuk menjadikan industri halal sebagai salah satu ekonomi utama negara tercinta, Negara Brunei Darussalam.
Melalui BruHAS 2017, Dr. Hajah Mas Nooraini berharap Negara Brunei Darussalam akan menjadi terkenal sebagai hab pengetahuan global halal dan juga sebagai pengeluar dan pembekal utama produk dan perkhidmatan halal.