Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Pameran Cinta dan Kenali Rasulullah S.A.W. akan dibukakan kepada orang ramai pada 25 Disember 2017 hingga 13 Januari 2018 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas bersempena dengan Festival Disember Brunei 2017.
Perkara ini dimaklumkan oleh Pegawai Pemasaran dari Syarikat Avertu Management Services, Awang Muhammad Fatin Abdul Rahman bin Kifli dalam sidang akhbar yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Dayasaing, Tingkat 3, Bangunan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini.
Sidang akhbar tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku setiausaha Lembaga Pelancongan Brunei, Pegawai Undang-Undang Syariah Avertu Management Services, Hajah Bazilah binti Mudim Haji Ahmad Kasra dan Pegawai Perhubungan Awam Avertu Management Services, Dayang Mumtazah binti Emzah.
Awang Muhammad Fatin Abdul Rahman menjelaskan bahawa Pameran Cinta dan Kenali Rasulullah S.A.W. merupakan program yang diungkayahkan oleh Avertu Management Services bersama KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dan turut disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Program tersebut berobjektif bagi memberikan peluang kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan juga negara jiran dari Malaysia (Sabah dan Sarawak) dan Indonesia (Kalimantan) agar dapat bersama-sama meraikan rasa kecintaan dan mengenali Baginda Rasulullah S.A.W. secara lebih dekat dengan menghayati kehidupan dan akhlak mulia Baginda Rasulullah S.A.W.

“Pameran tersebut akan menampilkan acara utama iaitu Pameran Artifak Rasulullah S.A.W. dan Para Sahabat Radiallahu Anhum, di samping aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain dan juga ekspo jualan,” tambah Awang Muhammad Fatin Abdul Rahman.
Beliau juga menjelaskan bahawa Pameran Artifak Rasulullah S.A.W. dan Para Sahabat Radiallahu Anhum merupakan kesinambungan daripada Pameran Jelajah Nusantara 2016-2018.
“Pameran artifak tersebut, sebelum ini, telah pun diadakan di Melaka, Kelantan, Kedah, Selangor, Pattani di Thailand dan di Singapura. Dengan mengadakan pameran artifak ini di Negara Brunei Darussalam, ianya memberi peluang keemasan kepada rakyat negara ini untuk melihat sendiri khazanah peninggalan Baginda Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A,” tambah beliau lagi.
Antara yang akan dipamerkan termasuk rambut Rasulullah S.A.W., serban Rasulullah S.A.W., dan tongkat Rasulullah S.A.W. Turut dipamerkan adalah artifak-artifak lain seperti Kiswah Pintu Kaabah, Batu dinding Kaabah, Kunci Kaabah dan pelbagai lagi.
Hajah Bazilah pula memberitahu, terdapat juga program-program lain yang diadakan semasa pameran berkenaan berlangsung seperti program majlis minggu mahabbah, majlis ilmu, majlis belia cinta rasul, penyampaian tazkirah dan zikir, penyampaian tausyeh dan qasidah serta pelbagai lagi
Awang Wardi pula menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai banyak peluang untuk mengembangkan lagi pelancongan Islam (Islamic Tourism) dan dengan mengadakan Pameran Cinta dan Kenali Rasulullah S.A.W. tersebut adalah merupakan salah satu daripadanya.
Menurut beliau lagi, pameran itu juga bertepatan dengan Sambutan Maulidur Rasul yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Harga tiket masuk ke pameran tersebut adalah $10 setiap seorang.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pameran tersebut, orang ramai boleh melayari media sosial Pameran Cinta dan Kenali Rasulullah S.A.W. melalui Facebook / Instagram @pamerancinta.bn, di laman sesawang di www.brunei.events, atau menghubungi talian 8319093.