Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Lebih 150 orang penceramah, termasuk wakil daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyertai ‘Pameran dan Persidangan Antarabangsa Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) 2025’ di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan persidangan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Gharif, selaku Pengerusi Bersama Majlis.
Majlis turut menyaksikan ucapan alu-aluan oleh Pengarah The Brunei Cancer Centre (TBCC) merangkap Pengerusi Bersama Persidangan, Dr Haji Muhammad Syafiq bin Abdullah yang antara lain menzahirkan penghargaan kepada tetamu kehormat atas kesudian merasmikan acara berkenaan.
Dalam ucapan Dr Haji Muhammad Syafiq antara lain menjelaskan bahawa Pameran dan Persidangan Antarabangsa NCD 2025 merupakan inisiatif pertama seumpamanya diadakan di Brunei Darussalam, hasil usaha sama antara Kementerian Kesihatan, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Gleneagles JPMC, dengan tema “Menghubungkan Penjagaan Kesihatan dan Komuniti”.
Beliau turut menjelaskan antara objektif utama penganjuran ialah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) melalui pameran interaktif, saringan kesihatan dan aktiviti pembelajaran.
Di samping memudah cara perkongsian ilmu antara pakar-pakar kesihatan melalui sesi saintifik yang mengetengahkan kajian terkini dan amalan terbaik.
Ia juga berperanan sebagai platform kolaborasi antara pihak berkepentingan dalam industri penjagaan kesihatan di sektor kerajaan dan swasta, sama ada di dalam atau luar negara.
Beliau menambah bahawa penganjuran ini menyokong usaha negara menangani penyakit jantung, strok, diabetes, kanser dan masalah pernafasan, sekali gus menjadikan acara tersebut sebagai antara pameran dan persidangan kesihatan terbesar di Brunei Darussalam.
“Persidangan NCD kali ini menghimpunkan lebih daripada 150 penceramah dari dalam dan luar negara termasuk wakil daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), membincangkan masa depan penjagaan kesihatan, inovasi digital, penuaan sihat, serta kesan ekonomi NCD,” jelas beliau.
Pakar-pakar jemputan lain turut berkongsi pandangan dalam bidang seperti obesiti, kanser, strok, kesihatan mental, jantung dan pemakanan.
Beliau turut menjelaskan bahawa dari segi pameran, lebih 40 organisasi dan syarikat menyertai acara ini dengan mempamerkan perkhidmatan, produk kesihatan dan aktiviti interaktif.



Manakala lebih 20 vendor tempatan turut menyediakan pelbagai juadah sepanjang lima hari penganjuran.
Menurutnya lagi, “Pameran dan Persidangan Antarabangsa NCD 2025 ini merupakan sebuah One-Stop Hub bagi memenuhi keperluan kesihatan semua lapisan masyarakat, termasuk para profesional dan orang awam”.
Beliau menyeru orang ramai untuk sama-sama menyokong usaha pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit, dengan mengunjungi pameran, menyertai ceramah awam dan mengamalkan pemakanan sihat serta gaya hidup aktif.
Beliau merakamkan penghargaan kepada para penaja, rakan kongsi dan ahli jawatankuasa atas komitmen, dedikasi dan usaha berterusan dalam memastikan kejayaan penganjuran acara berkenaan.
Di majlis itu, tetamu Kehormat turut mengunjungi kawasan pameran dan melancarkan buku “Ustaz… Ustazah… Kan Betanya…”, terbitan Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan melalui Khidmat Ugama, bersama Pengarah Urusan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Hajah Rohani binti Haji Abdullah.
Buku berkenaan bertujuan mengintegrasikan penjagaan rohani dalam rawatan pesakit buah pinggang, di samping berfungsi sebagai panduan praktikal kepada pesakit, keluarga mereka dan penyedia penjagaan kesihatan.
Penganjuran sulung ini turut mengiktiraf sumbangan para penaja, rakan kongsi dan ahli jawatankuasa, mencerminkan komitmen bersama ke arah masyarakat yang lebih sihat melalui pencegahan, pendidikan dan inovasi kesihatan.
Pameran dan Persidangan Antarabangsa NCD 2025 turut berperanan meningkatkan kesedaran awam agar masyarakat mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan, mengamalkan pemakanan sihat, kekal aktif secara fizikal dan mengekalkan gaya hidup seimbang.
Orang ramai digalakkan untuk mengunjungi pameran serta menyertai pelbagai aktiviti dan sesi pendidikan sepanjang minggu ini bagi menyokong usaha berterusan negara memerangi penyakit tidak berjangkit.

