BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Sebanyak 51 reruai terlibat dalam Pameran Dandam Melayu Islam Beraja (MIB) yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) melalui Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL) pada 2 November di Dewan Serba Guna UTB.
Pameran ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan penghargaan terhadap falsafah MIB sebagai cara hidup rakyat Brunei serta memberi peluang kepada pelajar membentangkan projek mereka, berinte-raksi dengan komuniti universiti dan orang ramai, dan mengukuhkan hubungan antara kakitangan, pelajar dan pengunjung.
Melalui pameran berkenaan, UTB dan CCTL menegaskan komitmen mereka terhadap Piagam Pemasyhuran serta Titah-titah Diraja yang menetapkan MIB sebagai asas identiti kebangsaan Brunei Darussalam, di samping memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan warga universiti.
Terbuka kepada orang awam, pameran ini mempamerkan pelbagai aspek warisan, budaya dan nilai Brunei. Aktiviti kebudayaan seperti demonstrasi mengikat dastar dan memakai sinjang memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai amalan tradisi Brunei serta mendalami penghargaan terhadap identiti budaya negara.
Acara ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UTB untuk mengintegrasikan nilai kebangsaan dalam pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan, memastikan falsafah MIB terus menjadi inspirasi buat generasi akan datang.




