Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 DIS – Berikutan kejayaan pameran gambar-gambar keindahan Negara Brunei Darussalam dari kaca mata diplomat asing dan pameran foto keluarga diplomatik ke Brunei sebelumnya, pameran tersebut telah diteruskan lagi di Muzium Daerah Belait hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan upacara pembukaan pameran tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah Dekan Kor Diplomatik dan Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari, duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi ke Negara Brunei Darussalam, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan dan
agensi swasta yang berpusat di Daerah Belait.
Pameran tersebut dianjurkan oleh Kor Diplomatik yang terdiri daripada 19 misi diplomatik ke Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mempamerkan lebih dari 109 gambar-gambar yang diambil oleh ahli diplomatik berkenaan yang menceritakan kehidupan
seharian dan semasa berada di negara ini.
Sejak dimukan pada tahun 2018, pameran itu juga merupakan satu platform untuk memperluas hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan semua negara yang terlibat.
Selain itu, pameran itu juga bertujuan untuk menghargai hubungan unik dan sebagai tanda ucapan terima kasih daripada warga diplomat asing kepada raja dan rakyat Negara
Brunei Darussalam atas keramahan yang telah diterima oleh para diplomat tersebut.
Sebelum itu acara dimulakan dengan majlis pelancaran pameran berkenaan dengan memotong reben oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin
Ihsan, seterusnya mengunjungi petak pameran di muzium tersebut sambil disajikan dengan persembahan muzik tradisional oleh para belia dari Daerah Belait.
Pameran tersebut dibukakan untuk orang ramai bermula hari ini hingga 7 Januari 2021 setiap hari dari jam 9 pagi hingga 2 petang, kecuali hari Isnin dan Jumaat.


