Monday, October 7, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Foto Diraja raikan hubungan diplomatik M’sia, Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Negara Brunei Darussalam dan Malaysia adalah negara-negara Nusantara Melayu yang saling berkongsi tamadun, institusi beraja, budaya, bahasa dan ugama.

    Kedua-dua buah negara juga telah menikmati rangkaian kerjasama yang berterusan di pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan, keselamatan dan pendidikan sejak menubuhkan hubungan diplomatik empat dekad yang lalu.

    Oleh itu, dalam menyambut Ulang Tahun Ke-40 Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, Pameran Foto Diraja Malaysia dan Negara Brunei Darussalam telah dirancang dan diadakan bagi meraikan hubungan dua hala yang berkekalan antara kedua-dua buah negara dengan memperlihatkan keakraban dan hubungan persahabatan di antara Brunei dan Malaysia.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus dalam kata alu-aluannya semasa majlis perasmian pameran foto berkenaan yang berlangsung di Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian pameran berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Politik dan Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Norhashimah binti Pengiran Mohd Hassan.

    Turut hadir ialah Duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi Luar Negara di Negara Brunei Darussalam, Timbalan Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

    Pengiran Haji Rosli berkata lagi bahawa 55 keping foto yang dipamerkan diharap akan dapat menunjukkan betapa hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia bukan sahaja bertapak di bawah rumpun Melayu dan Islam, malahan mempunyai pertalian kekeluargaan dan sejarah yang bersimpul erat ratusan tahun lamanya.

    Pameran yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Malaysia itu mula dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula hari ini, 7 Oktober hingga 7 November, setiap Sabtu hingga Khamis dari pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang.

    Pengiran Norhashimah menyempurnakan perasmian pameran foto berkenaan.
    Pengiran Norhashimah menyaksikan dengan lebih dekat foto yang dipamerkan dalam pameran berkenaan.
    Antara foto yang dipamerkan dalam pameran berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda