HANOI, 25 MAC – Pameran foto bertemakan ‘Negara ASEAN dan Rakyat’ dijadualkan berlangsung pada Mei 2025 sempena Festival Lang Sen, menandakan ulang tahun kelahiran ke-135 Presiden Ho Chi Minh, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Menurut Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, pameran itu dijangka menjadi acara seni yang bermakna dalam Festival Lang Sen serta memperkukuh pertukaran budaya di rantau itu.
Ia juga memberi peluang kepada pencinta kesenian untuk menghayati karya fotografi terbaik daripada jurugambar negara-negara anggota.
Jabatan Seni Halus, Fotografi dan Pameran Vietnam sebelum ini menganjurkan pelbagai pertandingan fotografi, festival serta pameran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Jabatan itu turut memainkan peranan penting dalam membawa pameran seni ke wilayah Nghe An sebagai sebahagian daripada Festival Lang Sen.
Bagi 2025, wilayah Nghe An berhasrat untuk menganjurkan pameran bertaraf serantau bagi memperkayakan program festival, memudahkan pertukaran seni antara artis tempatan dan antarabangsa serta mempromosikan nilai budaya dan kemanusiaan wilayah itu. – Bernama
