Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran himpun inovasi teknologi terkini

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Pameran TechXpo 2025 membuka tirai secara rasmi hari ini dengan majlis pembukaan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Bertemakan Innovate Tomorrow, pameran selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Ogos ini dianjurkan bersama oleh InfoCom Federation Brunei (IFB) dan dikendalikan oleh D’Sunlit Sdn Bhd, dengan sokongan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, yang dialu-alukan oleh Pengerusi IFB, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff bersama tetamu-tetamu kehormat, jemputan khas serta para delegasi.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengiran Sarimah yang menekankan kepentingan kerjasama, inovasi dan transformasi digital dalam merealisasikan aspirasi Brunei Darussalam menjadi sebuah Negara Pintar.

    Dalam ucapannya sebagai Pengerusi IFB, Pengiran Sarimah menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang hadir, termasuk delegasi BIMP-EAGA, penaja utama, rakan kongsi, peserta dan pemimpin industri yang menyokong pameran tersebut.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa merasmikan Pameran TechXpo 2025 dengan tema Innovate Tomorrow, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyaksikan dengan lebih dekat inovasi yang dipamerkan semasa acara itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyaksikan pameran yang diketengahkan semasa acara tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi bergambar ramai bersama ahli-ahli IFB dan penaja Platinum TechXpo 2025. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Setelah lima tahun berehat, pameran teknologi tahunan TechXpo 2025 kembali membuka peluang kepada inovator dan pemimpin pemikiran untuk merevolusikan dunia digital dan teknologi.

    Pameran tahun ini menekankan cabaran dan peluang dalam membentuk masa depan melalui teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan teknologi lestari.

    Beliau menekankan bahawa inovasi bukan sekadar ciptaan baharu, tetapi hasil kolaborasi antara industri, kerajaan dan pemikir berani yang mencabar batasan kemungkinan. Beliau berkata, TechXpo 2025 bukan sekadar pameran, tetapi platform untuk menampilkan terobosan dalam bidang kesihatan, tenaga, kewangan dan komunikasi global, serta memastikan inovasi memberi manfaat kepada semua.

    Beliau turut menyeru agar semua peserta menjadikan TechXpo 2025 sebagai platform untuk berkolaborasi, berani mencuba, dan membina masa depan yang inklusif.

    Pameran itu dijangka menjadi pusat bagi pertukaran idea, perkongsian amalan terbaik dan pembinaan rangkaian strategik dalam bidang teknologi dan inovasi.

    Pelancaran simbolik TechXpo 2025 menandakan permulaan pameran yang menghimpunkan pelbagai inovasi teknologi terkini daripada peneraju industri tempatan dan antarabangsa.

    Acara diteruskan dengan dua taklimat utama yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), Christopher Phan, bertajuk Building Blocks & Enablers for Digital Transformation yang menggariskan infrastruktur penting bagi mempercepatkan perjalanan transformasi digital negara.

    Taklimat utama kedua disampaikan oleh Naib Presiden Eksekutif ICT Marketing & Solutions, Huawei International PTE Limited, Qi Wei, yang menekankan komitmen Huawei dalam memperkasa ekonomi digital melalui penyelesaian teknologi canggih.

    Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama ahli-ahli IFB dan penaja Platinum TechXpo 2025 iaitu UNN, imagine Sdn Bhd dan Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, diikuti lawatan eksklusif ke pameran.

    TechXpo 2025 turut menawarkan pelbagai pengisian menarik termasuk NextWave Startup & Innovation Showcase, Kejohanan E-Sukan (PUBG Mobile dan FC25) dengan kerjasama Persatuan E-Sukan Brunei, bengkel AI oleh Universiti Teknologi Brunei, serta pelbagai paparan teknologi interaktif.

    Pengunjung juga berpeluang menyertai interactive scavenger hunt dengan mengimbas kod QR di sekitar pameran dan melengkapkan sekurang-kurangnya 70 peratus tugasan untuk menebus TechXpo Cable Organiser Bag.

    Selain itu, bagi memeriahkan lagi acara, cabutan hadiah utama menawarkan hadiah-hadiah teknologi terkini seperti XReal Air 2 Ultra AR Glasses dan Ebo Air 2 Plus Companion Robot.

    Dengan barisan pempamer yang mantap, platform perkongsian ilmu serta pameran interaktif, TechXpo 2025 dijangka menjadi hab dinamik bagi inovasi, jaringan kerjasama dan perbincangan berorientasikan masa hadapan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda