Oleh Salawati Haji Yahya
Sudah menjadi tradisi setiap kali menjelang hari konvokesyen para bakal graduan, universiti-universiti di negara ini akan dimeriahkan dengan acara pameran bagi menguar-uarkan atau meraikan kejayaan para graduan mereka sebelum menamatkan pengajian masing-masing.
Begitu juga dengan pihak Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) dan Fakulti Pertanian pada tahun ini juga tidak ketinggalan untuk mengadakan Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA kali ke-13 yang lazimnya diadakan setiap tahun dengan pengisian acara dan aktiviti menarik.
Pelbagai acara dan aktiviti bersempena dengan konvokesyen itu telah diadakan di Kampus Sinaut UNISSA yang menampilkan pelbagai program seperti Pameran Model Halal Supply Chain, tayangan video animasi pendek From Farm to Fork dan beberapa aktiviti berkaitan hal ehwal halal.
Apa yang menariknya, salah sebuah pameran iaitu Pameran Model Halal Supply Chain merupakan projek yang telah diungkayahkan oleh ahli-ahli Persatuan Pelajar Halalan Thayyiban dan diketuai oleh Penolong Pensyarah di PPHT, UNISSA, Dayang Raihana binti Mohd Raffi.
Melalui projek ini juga, satu video animasi pendek yang membawa konsep From Farm to Fork telah berjaya dihasilkan dan telah dipamerkan pada 22 hingga 25 Ogos yang lalu bertempat di Dewan Serbaguna Al Rayyan di kampus berkenaan.
Rentetan itu, penulis cukup tertarik dengan pameran tersebut yang dibukakan secara percuma bagi kunjungan orang ramai sekali gus ia dapat memeriahkan lagi sambutan tersebut.
Selain itu, badan pelajar PPHT juga telah mengukayahkan beberapa aktiviti menarik dengan tujuan untuk menyebarkan maklumat berkaitan produk makanan halal dan tidak halal yang bukan sahaja tertumpu kepada kalangan pelajar di kampus tersebut, malahan ia adalah dibukakan kepada orang ramai, kerana wujud segelintir pengguna media sosial yang baru-baru ini banyak menyebarkan maklumat halal palsu terutamanya melibatkan elemen haram dan najis termasuk khinzir dan beberapa yang lain.
Apa yang pasti, pihak badan pelajar berkenaan telah mengambil inisiatif untuk memainkan peranan penting di negara ini agar dapat memberi rangsangan dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai kepentingan mencari sumber baik makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal yang halal dalam kehidupan harian agar memperoleh keberkatan hidup.
Di samping itu, para pelajar dari Fakulti Pertanian dan PPHT juga tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam sesi demonstrasi Acara Inovasi Produk yang diadakan bersempena dengan Majlis Mahrajan Hafl Al-Takharruj kali ke-13, di UNISSA Kampus Sinaut.
Menariknya, acara tersebut menyaksikan bunga telang (butterflypea) pelbagai bentuk, yang juga dikenali sebagai Asian pigeonwings. Bunga yang berbentuk sederhana itu sememangnya terbukti menjadi sumber inovasi produk yang memiliki pelbagai manfaat kesihatan yang luar biasa.
Lantaran itu, para pelajar dari Fakulti Pertanian turut menampilkan pelbagai produk makanan inovatif yang terdiri daripada serbuk, sirap, jeli, serta nasi kerabu. Sementara itu, para pelajar dari PPHT pula telah menampilkan sebuah penciptaan bar sabun menggunakan campuran zaitun, kelapa dan minyak sawit, dengan menekankan kepentingan amalan yang mementingkan alam sekitar.
Bukan setakat itu sahaja, melalui acara tersebut juga orang ramai dapat mengetahui teknik-teknik pengekstrakan yang benar, yang menekankan kepentingan proses dehidrasi bunga dalam meningkatkan kecerahan warna. Justeru, bengkel praktikal mengenai pembuatan serbuk, jeli, sirap serta sabun dapat memberikan pengalaman praktikal, seterusnya menekankan kepelbagaian dan kegunaan bunga tersebut.