Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Untuk memberikan pengetahuan kepada murid-murid sekolah rendah tentang sejarah Negara Brunei Darussalam, Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Sekolah Rendah Bendahara Sakam, Bunut telah mengadakan Pameran Bergerak: Generasi Celik Sejarah di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Seramai 151 orang murid menyertai dan menghadiri pameran berkenaan yang diisikan dengan taklimat ‘Kenali Sejarah Kitani’ serta kongsi sama cerita bergambar ‘Legenda Jong Batu’ yang disampaikan oleh salah seorang wakil Pusat Sejarah Brunei.
Aktiviti-aktiviti sampingan turut dijalankan seperti pameran sejarah, demonstrasi takapan batu nisan, demonstrasi salasilah, jualan buku, kuiz sejarah dan pameran gambar-gambar bersejarah. Pameran bergerak ke sekolah-sekolah rendah seluruh negara berkenaan merupakan kesinambungan projek Pusat Sejarah Brunei pada tahun lepas.
Tujuan utamanya juga adalah untuk memberi pendedahan kepada generasi muda khususnya murid sekolah tentang kaedah dan pendekatan sejarah yang lebih mudah untuk diketahui.
