Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN 8 MAC – Dengan matlamat untuk menyediakan platform utama bagi golongan pelajar menengah Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) melakar laluan mereka ke peringkat pengajian tinggi, ISB telah mengadakan acara tahunan Pameran Kerjaya ISB 2024, pagi tadi.
Acara yang diadakan di Bilik Kerja International Baccalaureate (IB) ISB itu telah menampilkan penglibatan pelbagai institusi, organisasi dan universiti yang menyediakan petak pameran di mana para pelajar boleh bertemu dengan wakil-wakil berkenaan untuk meneroka pilihan destinasi pengajian tinggi dan kerjaya yang terdapat di Negara Brunei Darussalam dan di seluruh dunia.
Kira-kira 400 orang pelajar ISB dari Tahun 7 hingga Tahun 13 menghadiri acara itu, di mana mereka berpeluang bertanya soalan dan mengetahui lebih lanjut lagi bagi masa depan perjalanan pendidikan mereka.
Antara yang menyertai pameran berkenaan ialah Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam; Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam; Suruhanjaya Tinggi Kanada di Brunei Darussalam; Pendidikan Amerika Syarikat; EHL (Switzerland); Findlay; Kolej Perdagangan Laksamana (LCB); Universiti Curtin, Malaysia; Universiti Monash, Malaysia; Kolej Cosmopolitan; Glion Institute of Higher Education; Universiti Lakehead; Les Roches International School of Hotel Management; Morrisby; Kolej Sains Kesihatan JPMC; dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Kaunselor Universiti dan Kerjaya di ISB, Emily Deacon, merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua institusi yang datang dari jauh kerana menjayakan acara tersebut.
“Kami amat berterima kasih atas bantuan mereka dalam menyalurkan pengetahuan bagi masa depan pelajar kami. Bukan sahaja acara itu berguna dari perspektif kerjaya tetapi ia juga membantu mengembangkan kemahiran insaniah pelajar kami, memberikan mereka peluang untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi mereka ketika bersama wakil-wakil,” ujarnya.
Pameran Kerjaya ISB merupakan acara terakhir Minggu Kerjaya ISB, yang menyaksikan perbincangan harian berlangsung sepanjang minggu, termasuk ceramah mengenai kejuruteraan oleh Guru Rendah di ISB, Ross Garforth, yang juga bekas jurutera di United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu; ceramah mengenai sains komputer oleh Ketua Pegawai Maklumat di Bank Baiduri dan seorang alumni ISB, Simon Hansman; ceramah yang merangkumi topik pengajian undang-undang oleh Presiden Persatuan Undang-undang Negara Brunei Darussalam dan seorang alumni ISB, Dayang Nur ‘Azizah binti Dato Seri Paduka Haji Ahmad; dan ceramah tentang mengkaji perniagaan dan hospitaliti oleh Pengarah Suisse Edu, Sonia Mueller.



