Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pameran kerjaya tingkat prospek pekerjaan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Dalam memberikan respons kepada keperluan mendesak untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) hari ini telah melancarkan Pameran Kerjaya IBTE tahunan yang antara lain bertujuan memperkasakan graduan dan mengeratkan hubungan dengan rakan industri.

    Majlis perasmian Pameran Kerjaya IBTE di Dewan Serba Guna Kampus Mekanikal IBTE itu telah disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Haji Mohd Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman.

    Terdahulu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapan perasmiannya antara lain menggariskan, IBTE memainkan peranan dalam menyediakan pelajar untuk tenaga kerja, melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal penting yang disesuaikan dengan bidang pilihan mereka.

    “Dengan meningkatkan kebolehpasaran mereka dan memupuk inovasi, IBTE menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi Brunei,” jelasnya.

    Haji Mohd Hanafi ketika menyaksikan Pameran Kerjaya IBTE 2024. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Haji Mohd Hanafi semasa menyampaikan sijil kepada penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Selain mengongsikan, IBTE secara aktif bekerjasama dengan pelbagai industri untuk memastikan kurikulum kekal sejajar dengan permintaan pasaran yang berkembang.

    “Dengan perkongsian strategik ini memastikan graduan kami memiliki kemahiran dan pengetahuan praktikal yang diperlukan untuk memenuhi keperluan khusus industri, dan dengan mengikuti perkembangan kecekapan teknikal semasa, graduan kami dilengkapi dengan baik untuk pasaran kerja yang dinamik dan berdaya saing,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menambah, Pameran Kerjaya IBTE ini mewakili salah satu inisiatif asas IBTE untuk meningkatkan prospek pekerjaan graduan.

    “Dengan 416 graduan yang mengambil bahagian dalam acara tahun lepas, kami optimis pameran kerjaya tahun ini akan memberikan peluang yang lebih baik kepada graduan kami untuk meneroka laluan kerjaya yang pelbagai.

    “Di samping melibatkan diri dengan pihak berkepentingan industri, dan mencari padanan yang sesuai dengan kemahiran dan aspirasi mereka,” tambahnya.

    Pada tahun ini, lebih 20 buah syarikat menyertai pameran berkenaan dengan menawarkan lebih 290 kekosongan pekerjaan daripada pelbagai sektor seperti hospitaliti dan pelancongan, perdagangan, elektrik, elektronik, pengurusan harta, automotif, pembinaan, tenaga dan kejuruteraan.

    Dengan komitmen yang teguh terhadap pendidikan berkualiti dan kejayaan pelajar, IBTE mengambil langkah proaktif untuk menangani pengangguran dalam kalangan graduannya, dan ini sejajar dengan objektif kualiti pengurusan dan visi untuk masa depan.

    Pameran yang berlangsung selama tiga hari itu bukan saja memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi bersama syarikat yang menyertai pameran berkenaan, tapi berpeluang mengadakan lawatan sekitar Kampus Mekanikal IBTE.

    Di samping itu, pameran berkenaan turut menawarkan satu siri bengkel peningkatan kemahiran, meliputi topik seperti penulisan resume, penyediaan temu duga dan pembangunan profesional.

    Bengkel yang dilaksanakan dalam talian mengikut jadual yang disediakan, di mana bengkel tersebut akan melengkapkan graduan dengan alat dan sumber yang diperlukan untuk menunjukkan bakat dan menjamin peluang pekerjaan.

    Pameran Kerja IBTE yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampus Mekanikal IBTE yang disempurnakan pada hari ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...