Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran ketengah hasil penyelidikan SDG

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-15 (KAIB XV) yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini turut disemarakkan dengan pameran yang diadakan di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    KAIB dianjurkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama 10 buah universiti di Kepulauan Borneo dan kali ini, ia turut bekerjasama dengan Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB).

    Sehubungan itu, pameran tersebut telah disertai oleh wakil-wakil dari universiti-universiti Kepulauan Borneo termasuk UNISSA, PSB, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Malaysia, UiTM Sabah, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Kalimantan Barat, Universitas Mulawarman (UNMUL) Samarinda, Kalimantan Timur dan Universitas Islam Negeri (UIN) Antasari Banjarmasin, Kalimantan Selatan.

    Para peserta telah mengetengahkan poster-poster penyelidikan yang relevan dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) merangkumi pelbagai penyelidikan dalam bidang halal, pertanian, perikanan dan teknologi.

    Semua penyelidikan berkenaan mempunyai elemen inovasi yang mampu memberikan kemudahan kepada orang ramai dalam menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kemiskinan, ketidaksamaan sosial, pencemaran alam sekitar dan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang terhad.

    Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-15 (KAIB XV) turut disemarakkan dengan pameran yang diadakan di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sepanjang berlangsungnya pameran berkenaan, PSB telah mengetengahkan pameran bertajuk Perkembangan Bandar Brunei sebagai Perbandaran Islam dalam SDG 11: Komuniti dan Bandar yang Lestari.

    Menurut catatan sejarah, Bandar Brunei mula dibentuk sebaik sahaja kesultanan Brunei ditubuhkan. Bermula dari Garang, Kota Batu dan Kampong Ayer, Bandar Brunei mengalami perpindahan dan perubahan mengikut waktu dan keadaan yang berlaku dari semasa ke semasa dalam setiap fasa pemerintahan sultan-sultan Brunei.

    Sementara itu, KUPU SB telah menampilkan pameran bertajuk Dinamika Perguruan Ugama yang Holistik ke arah Pembangunan Modal Insan dan Kebolehpasaran Pelajar KUPU SB dalam SDG 4: Pendidikan Berkualiti pada pameran tersebut.

    Ia juga mengetengahkan inti pati serta keberkesanan kurikulum dan kokurikulum KUPU SB demi mencapai matlamat pendidikan berkualiti yang berhasrat, sesuai dengan perkembangan dunia sejagat termasuklah mekanisme kecerdasan buatan (AI).

    UiTM Sabah pula menonjolkan pameran Projek Komuniti: Freshwater Lobster Productions- Green Aquaponics Perennial System (FLP-GAPS) dalam SDG 11: Komuniti dan Bandar yang Lestari.

    Sementara itu, UiTM Sarawak menampilkan Kampus – IJO @ Gadong: Pelestarian Kampus dan Komuniti ke arah Zero Carbon Campus di bawah SDG 11: Komuniti dan Bandar yang Lestari dan SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Mampan.

    Kajian Kebudayaan Borneo: Penerangan Tema Hasil Riset dan Penelitian Kebudayaan Islam dan Borneo dalam SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh diketengahkan oleh IAIN Pontianak Kalimantan Barat.

    UNMUL Samarinda, Kalimantan Timur pula membawakan tajuk Perikanan Silvo Pintar untuk Mengurangkan Kesan Perubahan Iklim Terhadap Keselamatan Makanan dalam SDG 1: Tiada Kemiskinan, SDG 2: Kelaparan Sifar, dan SDG 13: Kehidupan di dalam Air.

    Sementara itu, UIN Antasari Banjarmasin, Kalimantan Selatan telah membawakan tajuk Peranan UIN Antasari dalam Melestarikan Warisan Budaya Banjar dalam SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 11: Komuniti Bandar yang Lestari.

    Manakala itu, UNISSA menyerlahkan pameran masing-masing dalam SDG 8: Pertubuhan Ekonomi, SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, SDG 2: Kelaparan Sifar dan SDG 11: Komuniti dan Bandar yang Lestari.

    Salah satu tajuk yang ditekankan ialah Perkembangan Aplikasi Mudah Alih Wakaf iaitu dengan menerangkan mengenai cara melakukan wakaf melalui aplikasi mudah alih untuk memudahkan sumbangan wakaf tunai yang cepat dan mudah.

    Ia juga untuk meningkatkan kesedaran projek wakaf iaitu dengan menganalisis perkara yang menarik orang ramai ingin menggunakan aplikasi wakaf dalam talian dan lain-lain lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda