Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Dalam landskap digital yang pesat berubah di mana inovasi berlaku pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, adalah penting bagi kita untuk bersatu untuk bertukar idea, berkongsi pandangan dan membayangkan sebuah masa depan yang dibentuk oleh kuasa teknologi.
Di sebalik peluang yang luas dalam zaman digital, tidak kurang juga kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan kita untuk sama-sama menangani segala implikasi etika, kesan masyarakat dan kebimbangan kemampanan yang datang bersama dengan revolusi teknologi berkenaan.
Adalah amat penting bagi kita untuk berusaha memperoleh inovasi bertanggungjawab di mana manfaat transformasi digital berkenaan dikongsi secara saksama tanpa meninggalkan sesiapapun di belakang.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar dalam kata alu-aluannya pada perasmian Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri ASEAN bagi Sains, Teknologi dan Inovasi ke-12 (IAMMSTI-12) dan Pameran dan Persidangan Masa Depan Digital yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian mesyuarat, pameran dan persidangan berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pengerusi IAMMSTI-12 dan Pengerusi AITI.

IAMMSTI merupakan perkumpulan serantau menteri-menteri bertanggungjawab bagi sains, teknologi dan inovasi dari negara-negara anggota ASEAN untuk membincangkan, bertukar-tukar idea, berkongsi amalan terbaik dan meneroka bidang-bidang kerjasama yang berpotensi untuk mempromosikan pembangunan dan aplikasi sains, teknologi dan inovasi dalam rantau ASEAN.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ketua-ketua IAMMSTI-21, pengerusi negara COSTI-83, timbalan setiausaha agung bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, Sekretariat ASEAN, perwakilan-perwakilan luar negara, pegawai-pegawai kanan dan wakil-wakil industri.
Selepas menyempurnakan perasmian IAMMSTI dan Pameran dan Persidangan Masa Depan Digital, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bersama ketua-ketua IAMMSTI-12 telah mengadakan lawatan ke Pameran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Pameran Masa Depan Digital.
Pameran dan Persidangan Masa Depan Digital dianjurkan bersama oleh AITI dan InfoCom Federation Brunei (IFB) di mana ia membawa tema, ‘Masa Depan Digital: Memajukan Teknologi & Inovasi’, yang diadakan bersempena dengan Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2023.
Peserta persidangan berpeluang mendengar ucaptama dan perbincangan daripada ahli panel meliputi pelbagai topik termasuk teknologi baru muncul, strategi digital, analisis data, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan.

