Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Laguna Seni 2025 himpun karya pelukis generasi lama, baharu DBP

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Sebanyak 37 orang pelukis terdiri daripada pelukis Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta mantan pelukis institusi tersebut, menyemarakkan Pameran Seni Kreatif DBP Laguna Seni 2025 yang dianjurkan oleh Bahagian Seni Lukis dan Reka Bentuk, DBP, bertempat di Galeri 4, Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei, Dermaga Diraja, Jalan McArthur, Bandar Seri Begawan.

    Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, pada petang tadi di ibu negara.

    Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Damit, yang juga merangkap sebagai Timbalan Pengerusi Pameran Laguna Seni 2025. Menurut beliau, pameran berkenaan merupakan platform istimewa yang menghimpunkan hasil karya seni daripada generasi pelukis lama dan baharu, mencerminkan kesinambungan dalam dunia seni lukis serta grafik tanah air.

    Mengangkat tema Sentuhan Warna, pameran tersebut mengetengahkan kepelbagaian ekspresi, kreativiti dan inovasi dalam seni visual tempatan. Ia bukan sahaja membuka ruang kepada pelukis dan mantan pelukis DBP untuk menonjolkan karya terbaik mereka, malah memperlihatkan evolusi seni dari bentuk tradisional hingga ke digital, seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.

    Pameran itu memaparkan sebanyak 89 lukisan, 94 hasil seni grafik dan 64 ilustrasi. Jumlah penyertaan yang signifikan ini menyerlahkan pelbagai pendekatan dan medium seni yang digunakan, mencerminkan landskap seni visual negara yang semakin berkembang dan dinamik.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama salah seorang pelukis tanah air, Pengiran Timbang. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pemangku Pengarah DBP menerangkan mesej di sebalik lukisan mural agung DBP kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi melakar di atas sebuah kanvas sebagai tanda kenangan bagi acara tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi merasmikan pameran berkenaan, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pemangku Pengarah DBP mengiringi Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi untuk lawatan pameran tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Gabungan karya yang dipamerkan diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat, khususnya kepada para pelajar seni yang bakal menjadi pelapis dan penerus legasi seni lukis serta seni grafik negara. Pameran tersebut juga berperanan sebagai wadah pendidikan seni dalam membantu masyarakat memahami serta menghargai nilai dan peranan penting seni visual dalam menyampaikan mesej dan nilai murni kepada generasi akan datang.

    Hajah Haireni turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pelukis dan mantan pelukis DBP yang telah menyumbangkan karya mereka dalam menjayakan pameran ini.

    Inisiatif itu bukan sahaja mempamerkan karya yang berinovasi namun tetap berakar pada budaya dan tradisi tempatan, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk menelusuri perkembangan seni lukis dan grafik negara dari era terdahulu hingga kini.

    Ia turut memperlihatkan pelbagai teknik, gaya dan konsep unik yang diketengahkan oleh para pelukis, sekali gus mengukuhkan jalinan kerjasama antara pelukis generasi lama dan baharu serta memberi manfaat kepada masyarakat umum, pelajar dan institusi berkaitan dalam memperkasa dunia seni tempatan.

    Pameran tersebut dibuka kepada orang ramai setiap hari mulai 8 Mei hingga 27 Mei, dari pukul 9 pagi hingga 4:30 petang, kecuali pada hari Jumaat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda