Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran lebih 100 karya jurugambar media di Balai Seni Lukis

    MELAKA, 1 April – Lebih 100 foto karya 18 jurugambar media di Melaka dipamerkan pada Pameran ‘Eyes on Melaka’ di Balai Seni Lukis di Bandar Hilir di sini bermula 28 Mac lepas hingga 16 April ini.

    Pameran anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dengan kerjasama Kelab Media Massa Melaka (Kemm) dan Melaka Journalist Association (MJA) dibuka kepada umum dengan bayaran RM3 seorang setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang.

    Pameran berkenaan disertai jurugambar media Melaka termasuk daripada Bernama iaitu Dusa Abas dan Shaharim Sulung, The New Straits Times Press, The Star, Utusan Malaysia, Kosmo, Melaka Hari Ini, China Press, Nanyang Siang Pau, Oriental Daily, Pejabat Ketua Menteri dan Perzim.

    Pada pameran itu turut diadakan satu sudut khas bagi memperingati jurugambar NSTP Muhammad Hatim Ab Manan yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 29 Disember lepas.

    Perasmian pameran itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron hari ini dan turut dihadiri Pengurus Besar Perzim Datuk Khamis Abas serta Pengurus Program pameran berkenaan Khairunisah Lokman.

    Datuk Seri Idris Haron (kanan) melihat gambar hasil kreativiti Allahyarham Muhammad Hatim Abd Manan selepas merasmikan galeri pameran ‘Eyes On Melaka’ di Balai Seni Lukis. – Bernama

    Sementara itu, Idris berkata karya asli tanpa edit daripada jurugambar media memainkan peranan penting khususnya dalam menyampaikan mesej tentang sesuatu insiden atau peristiwa yang berlaku secara telus.

    Beliau berkata gambar yang diedit khususnya bertujuan untuk menjatuhkan atau memberi imej negatif terhadap seseorang perlu dihindari kerana ia menyalahi etika sebagai seorang jurugambar media.

    Dalam pada itu, katanya pameran berkenaan merupakan platform terbaik bagi jurugambar media untuk mempamerkan karya mereka sepanjang membuat liputan di negeri itu.

    “Kita tidak dapat menafikan bahawa peranan jurugambar dalam agensi media adalah sama penting seperti wartawan kerana mereka merakam setiap insiden atau peristiwa istimewa yang berlaku,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda