Monday, February 24, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Majlis Ilmu papar nilai Islam dalam dasar pemerintahan

    Oleh Syahmi Hassan, Salawati Haji Yahya & Sim Y.H

    Gambar oleh Syahmi Hassan & Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Nov – Pameran sempena Majlis Ilmu 2017 yang berlangsung di Ruang Legar Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, memaparkan tentang sejauh mana wawasan serta kesungguhan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam dasar-dasar pemerintahan Baginda.

    Pameran Majlis Ilmu bertema ‘Pemerintahan Raja Shaleh Membawa Berkat’ dan Pameran Khas Balai Kenangan bertema ‘Raja Kesayangan: Allah, Rakyat’ itu akan diadakan sehingga Khamis ini.

    Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Pameran Majlis Ilmu 2017 ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa pameran tersebut memperlihatkan tentang bagaimana kedudukan pemerintahan beraja dalam Islam dan memperlihatkan pemerintahan beraja itu merupakan salah satu kaedah ataupun cara pemerintahan yang sah dan diiktiraf di dalam ajaran agama Islam.

    “Di samping itu juga, antara perkara-perkara yang dipamerkan di dalam pameran ini ialah seperti sejarah pemerintahan beraja di Negara Brunei Darussalam yang akan menunjukkan bukan sahaja nama raja-raja berkenaan tetapi juga tentang tahun-tahun pemerintahan dan jumlah tahun pemerintahan raja masing-masing daripada sultan pertama hingga ke masa ini,” jelas Haji Mohd Serudin.

    Pameran tersebut juga memaparkan beberapa perkara penting seperti Konsep Melayu Islam Beraja (MIB), Negara Zikir dan seumpamanya yang dipamerkan daripada pelbagai sudut seperti bagaimana Kebawah Duli Yang Maha Mulia membesarkan Al-Quran di Negara Brunei Darussalam dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat, memperkemaskan atau memperluaskan dakwah, memperkukuhkan institusi masjid dan seumpamanya.

    Antara yang dipamerkan dalam Pameran Majlis Ilmu 2017.
    Haji Mohd Serudin ketika ditemu bual Media Permata semasa Majlis Ilmu 2017.

    Selain itu, pameran itu juga memperlihatkan tentang bagaimana Kebawah Duli Yang Maha Mulia mementingkan isu-isu pendidikan dan seumpamanya yang bukan sahaja persekolahan agama tetapi persekolahan umum yang juga merupakan satu tanggungjawab kerajaan dalam memastikan rakyat diberikan pendidikan fardu ain dan fardu kifayah yang biasa disebut sebagai sekolah umum.

    Pameran lain yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta adalah pameran dalam bidang ‘Penerapan Islam dalam Dasar-dasar Kerajaan’, ‘Pendidikan’, ‘Gagasan Negara Zikir’, ‘Pemerkasaan Hukum Syarak’ dan Pendaulatan Undang-undang’, ‘Keprihatinan Raja Mempercukup Keperluan Asasi Rakyat’, ‘Ekonomi dan Kewangan Islam’, ‘Penerapan Nilai Kerohanian bagi Perkhidmatan Awam dan Keselamatan’, dan ‘Kepimpinan Akar Umbi’.

    “Kita boleh simpulkan bahawa raja kita adalah raja yang soleh dan kesolehan raja kita itu akan membawa keberkatan kepada kita dan akhirnya kita sebagai rakyat hendaklah menyokong dan seterusnya mentaati raja kita yang merupakan pemerintah tertinggi di Negara Brunei Darussalam,” kongsi beliau lagi.

    Sementara itu, Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Rajid bin Haji Mohd Salleh pula telah menjelaskan serba sedikit mengenai penglibatan PDI dalam Pameran Majlis Ilmu 2017, di mana mereka mempamerkan mengenai Dakwah dan Syiar sepanjang 1985 hingga 2017.

    Menurut beliau, mereka memaparkan perasmian Bangunan PDI pada tahun 1985 dan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

    Turut ditampilkan adalah jumlah keramaian orang yang memeluk Islam bermula dari tempoh tahun 1971 hingga 2017 iaitu lebih kurang 18,000 orang daripada pelbagai bangsa dan kaum di Negara Brunei Darussalam.

    “Selain itu juga, dijelaskan mengenai Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya Jilid Pertama iaitu Juz 1 hingga 3, dan juga Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya Satu Jilid Lengkap 30 Juz, Cetakan Pertama 2014 seperti yang dipaparkan di dalam kotak pameran kami,” tambahnya.

    Selain itu, juga terdapat pameran mengenai rakaman bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzuk yang disembahkan oleh 10 orang qari ternama di Negara Brunei Darussalam yang pernah menjuarai Musabaqah Tilawatil Quran mulai tahun 1990-an sehingga sekarang.

    Pameran Khas Balai Kenangan pula mempamerkan penerbitan Al-Quran di Brunei di mana sebanyak 15 buah Quran telah diterbitkan semenjak Kebawah Duli Yang Maha Mulia memerintah terutama ketika pemerintahan Baginda ke-25 tahun, yang mana ketika itulah mulanya Al-Quran dibuat di Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda