Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Manik wadah warisan bangsa

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Sempena Hari Muzium Antarabangsa 2024, Jabatan Muzium-Muzium akan mengadakan Pameran Manik: 1,000 Tahun bermula 18 Mei hingga 18 Ogos di Ruang Legar, Muzium Maritim Brunei Darussalam.

    Pameran itu adalah selaras dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu Muzium-muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan serta misi jabatan berkenaan iaitu melindungi dan memelihara warisan tamadun negara bagi menggalakkan pendidikan serta bagi merangsang minat, cinta dan menghargai warisan tamadun negara.

    Pengumuman mengenai pameran itu dibuat oleh Timbalan Pengarah Muzium, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad semasa sidang media di Bilik Gegandong, Muzium Maritim Brunei Darussalam, pagi tadi.

    Turut hadir ialah Pegawai Arkeologi, Dayangku Siti Nurhalimaturradhiyah Hibriyah binti Pengiran Haji Hamzah; dan Urus Setia Pameran Manik: 1000 Tahun sempena Hari Muzium Antarabangsa 2024, Dayang Masnunah binti Haji Bakar.

    Terdahulu, Pengiran Hajah Mahani mengongsikan bahawa pameran berkenaan merupakan kesinambungan daripada Seminar Temuan Arkeologi, Linguistik, Sejarah dan Budaya Se-Borneo yang telah diadakan pada 26 dan 27 November 2013 sempena Pameran Manik Se-Borneo.

    (Dari kiri) Dayang Masnunah, Pengiran Hajah Mahani, dan Dayangku Siti Nurhalimaturradhiyah semasa sidang media Sempena Hari Muzium Antarabangsa 2024. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    “Pameran ini mempamerkan bahan artifak berbentuk manik yang ditemui di empat tapak arkeologi utama di Negara Brunei Darussalam iaitu dari Tapak Kota Batu, Tapak Sungai Limau Manis, Tapak Sungai Lumut dan Kapal Karam Brunei yang bertarikh antara abad ke-10 hingga abad ke-17 Masihi.

    “Penemuan ini membuktikan kewujudan Brunei awal dalam menjalin hubungan negara serantau dan antarabangsa melalui hubungan perdagangan.

    “Selain itu, hubungan perdagangan ini juga turut membuktikan Brunei telah mencapai era kegemilangannya pada abad ke-15 dengan kehadiran para pedagang Arab, China dan India ke Brunei dan seterusnya menjalin ikatan politik, perkahwinan dan penyebaran agama Islam sepertimana yang tercatat dalam beberapa sumber China, Jawa, batu tarsilah dan lain-lain lagi,” jelasnya lanjut.

    Dalam pada itu, Pengiran Hajah Mahani turut menyatakan, pelaksanaan pameran berkenaan bertujuan untuk merangsang minat serta cinta dan menghargai warisan negara terutama dari segi penyelidikan, pengumpulan, pemeliharaan dan penyebaran ilmu.

    “Antara objektif pameran ini juga adalah memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali lebih rapat tentang penemuan koleksi artifak terutama bahan manik dari tapak-tapak arkeologi di Negara Brunei Darussalam yang berusia lebih dari 1,000 tahun di samping mengimbas kembali peranan arkeologi dalam masyarakat Brunei melalui penemuan arkeologi khususnya bahan manik,” ujarnya. Dayangku Siti Nurhalimaturradhiyah turut mengongsikan beberapa aktiviti akan diadakan sepanjang pameran itu antaranya Program Siri Arkeologi dan Aktiviti Kenali Arkeologi.

    Jelasnya, Program Siri Arkeologi yang diadakan pada 25 Mei, 29 Jun dan 6 Julai akan dimuatkan dengan sesi perkongsian mengenai penggunaan manik daripada pakar budaya di negara ini termasuk dari Bahagian Arkeologi dan Monumen mengenai penemuan manik purba dari tapak-tapak arkeologi. Pakar budaya juga akan mengetengahkan bahan-bahan budaya yang diperbuat daripada manik untuk dikongsikan semasa Siri Arkeologi.

    Di samping itu, seramai 30 orang yang terdiri daripada peringkat sekolah menengah hingga institusi pengajian tinggi turut akan dijemput bagi menyertai program tersebut.

    Manakala, bagi Aktiviti Kenali Arkeologi yang akan diadakan 23 Mei, 29 Mei, 20 Jun, 27 Jun, 25 Julai dan 1 Ogos, Dayangku Siti Nurhalimaturradhiyah menjelaskan bahawa ia akan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai bidang arkeologi melalui aktiviti yang disediakan seperti mewarna, puzzle, kuiz dan sebagainya.

    Aktiviti berkenaan boleh diikuti oleh kanak-kanak dan dewasa dengan pemenang bagi aktiviti pilihan akan menerima cenderamata Muzium Maritim Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda