Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran memaparkan pencapaian mahasiswa

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Dewan Canselor UBD kelmarin turut memaparkan pameran khas mengenai penemuan penyelidikan, inovasi dan pencapaian golongan mahasiswa dan mahasiswi terkini.

    Antara pameran yang diketengahkan adalah dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD yang telah mempersembahkan proses saringan kesihatan seluruh negara berasaskan kecerdasan buatan (AI) revolusioner menggunakan teknologi digital, yang merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

    Platform digital itu telah pun disediakan dalam aplikasi BruHealth dan bertujuan untuk menguruskan pemeriksaan kesihatan bagi pengurangan risiko dan pengesanan awal penyakit dan kematian disebabkan penyakit kardiovaskular dan kanser kolorektal, kedua-duanya punca utama kematian di seluruh dunia dan di Negara Brunei Darussalam.

    Ia menggunakan model ramalan risiko yang jauh lebih tepat daripada perkiraan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terkini. Dengan data yang dikumpulkan melalui platform digital, proses penyaringan adalah lebih pantas dan cekap.

    Sehingga kini, lebih 16,000 individu telah mengikuti proses saringan kesihatan penyakit kardiovaskular dan lebih 14,000 telah mengikuti proses saringan kesihatan kanser kolorektal.

    Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan EVYD Technologies, pasukan PAPRSB IHS yang terdiri daripada Dr Anni @ Nik Ani Afiqah Haji Mohamad Tuah, Dr Haji Muhammad Assyafie Hanif Abdul Rahman dan Profesor Dr Mohd Ayub Sadiq bersama penyelidik UBD yang lain memberikan idea konseptual dan kepakaran aplikasi AI untuk membangunkan platform digital.

    Sementara itu, Centre for Advanced Research (CARe) turut tidak ketinggalan memaparkan usaha mereka menyumbang kepada kejayaan penuaan di Brunei.

    Pasukan yang terdiri daripada Dr Siti Mazidah binti Haji Mohamad, Dr Shahrimawati binti Haji Sharbini dan Dr Hajah Asmah binti Haji Husaini telah bekerjasama dengan organisasi penjagaan kesihatan tempatan dan kumpulan komuniti untuk membangun dan melaksanakan program khusus bagi menangani penjagaan kesihatan dan keperluan sosial yang unik untuk warga veteran.

    Di samping itu, dua pelajar seni dari UBD Spectrum: Unveil tahun ini juga berpeluang mempersembahkan karya agung yang dihasilkan oleh Afiq Rafiqin Faiz Al-warits yang mengintegrasikan latar belakang dirinya dalam fotografi dengan seni AI, penyelidikan sejarah dan teknik manual untuk mewakili pendekatan falsafahnya di mana teknologi harus ditingkatkan dan tidak menggantikan sepenuhnya kreativiti manusia.

    Bagi Dayang Nur Azreen Adauwiyah Muhammad Tony Razzaq, beliau turut mengetengahkan projek tahun akhir yang mentafsir semula cerita rakyat Brunei Si Kuning dalam komik berwarna.

    Sebagai pengisian terakhir dalam pameran berkenaan, pasukan UBD Shell Eco-marathon tahun ini, Belia Tabah, mempamerkan prototaip kenderaan elektrik, Mekar, yang telah memecah rekod kebangsaan dalam pertandingan Shell Eco-marathon Asia Pacific and the Middle East 2024 yang diadakan di Lombok, Indonesia.

    Kenderaan itu mencapai kecekapan tenaga yang luar biasa sebanyak 285.5km/KWj, mengatasi rekod terbaik sebelum ini oleh pasukan Brunei dengan lebih 35km/KWj.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyaksikan salah sebuah pameran semasa Majlis Konvokesyen ke-36. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda