Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Dalam usaha untuk mempromosikan kebudayaan dan sukan di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Muzium-muzium dan Persekutuan Gasing Kebangsaan Brunei (PERGAB) mengadakan pameran ‘Memartabatkan Permainan Gasing’ di Galeri Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang dilancarkan kelmarin hingga 31 Disember depan.
Pelancaran pameran yang bertujuan untuk memartabatkan permainan gasing di negara ini khususnya kepada para belia itu telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Haji Mohamad Jefri bin Haji Sabli dan Yang Di-Pertua PERGAB, Dato Paduka Haji Puasa bin Orang Kaya Seri Pahlawan Tudin.
Pameran antara lain mempamerkan proses pembuatan gasing dan cara mengenal pasti kayu yang boleh digunakan serta jenis-jenis gasing, teknik-teknik permainan gasing dan turut menyenaraikan beberapa pertandingan yang diselenggarakan di peringkat kebangsaan dan juga serantau.
Selain itu. beberapa jenis gasing turut dipamerkan antaranya Gasing Tradisi (gasing besar), Gasing Borneo Disiut, Gasing Borneo Gurau Ditanah dan sebagainya.
Di samping pameran berkenaan, aktiviti berjadual tunjuk cara teknik yang betul bermain gasing turut disediakan untuk penyertaan orang ramai yang dikendalikan oleh ahli-ahli PERGAB.
Setakat ini, seramai 279 orang telah berdaftar dengan PERGAB sejak ia mula ditubuhkan pada 9 Disember 1987. PERGAB turut aktif dan sering kali dijemput bagi menyertai pertandingan gasing selain mengadakan demonstrasi permainan gasing.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan pameran berkenaan yang dibukakan setiap hari secara percuma pagi hingga petang kecuali hari Jumaat yang tutup pada waktu tengah hari.
