Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Sebagai salah satu pendekatan untuk memperkenalkan dan mendedahkan Brunei kepada seluruh masyarakat terutama kepada belia dan juga pelancong, Politeknik Brunei hari ini buat kali pertama telah me-ngadakan Pameran Menerokai Brunei Dalam Konsep Media.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis pelancaran di Dewan Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, pagi tadi ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.
Turut hadir pada pameran fotografi dan videografi anjuran pelajar pengambilan ke-5, Level 5 Diploma dalam jurusan Digital Media, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi itu ialah Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai; penolong pengarah, ketua jabatan dan ketua sekolah serta pensyarah, pegawai dan kakitangan Politeknik Brunei, KSSUP dan Jabatan Penerbangan Awam.
Seramai 55 orang pelajar pengambilan ke-5 Digital Media telah mengambil bahagian dalam menjayakan projek pameran ini, di mana keseluruhan bahan yang digunakan merupakan hasil kerja berasaskan ilmu yang telah diterapkan selama tiga tahun menjadi pelajar.
Pemangku Ketua Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Brunei, Awang Mohammad Hamdani Mustapa menjelaskan bahawa selaras dengan visi dan misi Politeknik Brunei dalam menghasilkan para graduan yang berkemahiran dan inovatif, hasil karya para pelajar membuktikan mereka mempunyai kemahiran yang ‘marketable’ untuk menempuhi alam pekerjaan dan keusahawanan.


Di samping itu, tambah beliau, usaha ini juga membuktikan pelajar ini mempunyai bakat dan pemikiran kreatif yang mampu menyumbang ke arah perkembangan industri media dan industri kreatif di negara ini.
Beliau sebelum itu memberitahu bahawa pameran ini merupakan satu platform bagi mempamerkan serta menghargai hasil kreatif para pelajar tahun akhir daripada program ‘Diploma in Digital Media’ di Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Brunei.
Pameran yang dibahagikan kepada empat kategori itu mempunyai tiga tema berlainan bagi setiap kategorinya, di mana setiap kategori turut mempamerkan daerah-daerah yang terdapat di Negara Brunei Darussalam.
Antara penaja bagi menjayakan pameran berkenaan ialah seperti Syarikat Seas, Zhang Stores, Rezwan Enterprise, Viva La Cupcakes, Rose Photo Studio dan Nasa SRM Jaya Sdn Bhd.
Pameran menerokai Brunei Dalam Konsep Media ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama empat hari bermula hari ini hingga 29 April dari jam 9 pagi hingga 9 malam.