Pameran Minggu Teknologi Digital dilancarkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Dengan mengetengahkan Transformasi Digital, Pameran Minggu Teknologi Digital yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan InfoCom Federation Brunei (IFB) berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas bermula hari ini hingga 20 Jun.

Pelancaran pameran yang merupakan sebahagian daripada Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2021 itu disempurnakan bersama oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof.

Minggu Teknologi Digital membawa tema Negara Pintar melalui Transformasi Digital, selaras dengan visi Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 di mana pameran mengetengahkan pelbagai acara berbentuk pameran, persidangan, dialog dan pertandingan yang memfokuskan kepada perkembangan dan potensi teknologi digital.

Ia turut disokong oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Cyber Security Brunei (CSB), IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) dan Dynamik Technologies Sdn Bhd.

Pameran Minggu Teknologi Digital disertai oleh 13 buah agensi daripada sektor kerajaan dan swasta mempamerkan inisiatif dan produk yang mendukung transformasi digital termasuk Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan Perdana Menteri, EGNC, Institut Perkhidmatan Awam, AITI, CSB, syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan digital termasuk DST, imagine Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd, ITPSS, Dynamik Technologies dan ASDS Sdn Bhd serta eSports Association.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib semasa melancarkan Pameran Minggu Teknologi Digital yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Antara yang menghadiri pelancaran Anugerah Alumni BICTA yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

Salah seorang pengunjung mencuba antara produk teknologi yang dipamerkan pada pameran tersebut. – Gambar serahan AITI

Penyertaan AITI dalam Pameran Minggu Teknologi Digital menampilkan Pameran Pengalaman 5G yang merupakan salah satu usaha berterusan AITI dalam meningkatkan kesedaran mengenai impak ekonomi dari 5G dan peluang-peluang dari pelbagai aplikasi 5G ke arah inovasi dan transformasi digital.

Pameran itu yang mempunyai konsep rumah pintar bagi meluaskan pengetahuan dan pengalaman mengenai bagaimana 5G boleh membantu dalam meraih manfaat-manfaat daripada transformasi digital melalui demonstrasi interaktif secara langsung.

Semasa mengunjungi pameran berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib menyempurnakan pelancaran Pelan Strategik AITI 2020-2025 di mana ia bertujuan untuk mendukung usaha mencapai hasil-hasil strategik Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

Semasa pameran itu juga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib turut melancarkan tiga per-khidmatan EGNC melalui Rancangan Kemajuan Negara yang ke-11 (RKN11) iaitu One Government Private Cloud 3 (OGPC3), National Centralized Database (NCDB) serta National Information Hub (NIH).

Perkhidmatan OGPC3 merupakan projek yang melibatkan penambahan pada kapasiti berserta peningkatan teknologi cloud computing yang terkini untuk menampung keperluan daripada agensi-agensi kerajaan yang kian meningkat.

Manakala itu, Perkhidmatan NCDB merupakan perkhidmatan yang melengkapi perkhidmatan infrastruktur cloud yang akan memberikan perkhidmatan infrastruktur pangkalan data secara pusat yang dikenali sebagai pangkalan data sebagai satu perkhidmatan untuk kegunaan jabatan-jabatan atau kementerian-kementerian yang memerlukan perkhidmatan perisian pangkalan data.

Dengan adanya NCDB, perkhidmatan itu membolehkan EGNC membekalkan perkhidmatan platform NIH bagi penyimpanan data umum seperti nama, alamat, nombor kad pintar dan sebagainya di mana ia akan memudahkan perkongsian data integrasi di antara sistem-sistem aplikasi kerajaan.

Terdahulu sebelum pelancaran Minggu Teknologi Digital, turut diadakan pelancaran Anugerah Alumni ICT Brunei (BICTA) oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib.

Majlis pelancaran berkenaan dihadiri oleh lebih daripada 100 orang ahli Alumni BICTA terdiri daripada peserta dan hakim terdahulu menghadiri acara perkumpulan yang julung kali diadakan itu.

Turut hadir semasa acara Alumni BICTA itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi bersama pertama, Jawatankuasa Pandu BICTA, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timba-lan setiausaha tetap,wakil-wakil sektor kerajaan dan swasta.

Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Mohammad Nazri mengongsi bahawa antara objektif utama Alumni BICTA adalah untuk memantau perkembangan produk-produk peserta BICTA sebelum ini dan mengukuhkan peranan BICTA sebagai wadah bagi peserta-peserta BICTA untuk berhubung dengan pemimpin industri, perniagaan, pakar teknikal dan pelabur.

Sementara itu, salah seorang daripada perintis BICTA, Dr Yong Chee Tuan, dalam ucapannya mengongsi bahawa Alumni BICTA dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan yang inovatif dan menyumbang kepada perkembangan sosial dan ekonomi Negara Brunei Darussalam dengan sokongan berterusan daripada pihak kerajaan yang berkepentingan.