Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Orang ramai yang mengunjungi aktiviti hujung minggu di perkarangan Kompleks Membeli-belah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), baru-baru ini, berpeluang menyaksikan barisan motosikal Harley Davidson yang dipamerkan pada acara pameran motor anjuran kompleks berkenaan.
Sebanyak 35 buah motosikal model Harley Davidson milik anggota Kumpulan Harley Owners Group (HOG) Brunei dipamerkan atas jemputan Kompleks Yayasan untuk membantu memeriahkan lagi aktiviti riadah di perkarangan kompleks berkenaan.
Pengarah HOG Brunei Chapter, Abdul Malek bin Hamdani merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan atas undangan tersebut dan menyatakan bahawa ia merupakan kali kedua Yayasan menjemput untuk menyertai aktiviti mereka. Dalam pameran itu, orang ramai berpeluang melihat lebih dekat lagi model-model motosikal berkenaan, malah pengunjung juga berpeluang merakamkan gambar dengan motosikal Harley.
