Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 26 pelukis tempatan dan dua pelukis antarabangsa telah menampilkan 40 lukisan kreatif mereka bertemakan budaya kehidupan dan kewujudan Kampong Ayer dalam acara Sustain and Change Art Exhibition di Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer hingga 15 Ogos ini.
Pameran yang mula dibukakan untuk kunjungan orang ramai sejak 29 Julai itu telah dilancarkan hari ini oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat.
Acara yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan Kunyit 7 Lodge itu bertujuan untuk mempromosi dan menarik pengunjung ke galeri tersebut selain karya-karya seni itu juga dijual kepada orang ramai dan pengunjung yang berminat.
Sustain and Change Art Exhibition itu memfokuskan kepada pameran kesenian dan lukisan dihasilkan para pelukis tempatan khususnya yang mempamerkan ciri-ciri suasana Kampong Ayer sesuai dengan pengisian pameran yang sedia ada di galeri tersebut.
Di samping itu, pameran tersebut juga bermatlamat untuk mempromosikan seni dan budaya Negara Brunei Darussalam dan menjadi platform kepada pengkarya meningkatkan kemahiran kreatif mereka bersama pelukis lainnya.
Sementara itu, Pengasas Kunyit 7 Lodge, Dayangku Kemariah binti Pengiran Haji Duraman mengongsikan pameran seumpamanya itu akan dapat memberikan kefahaman yang mendalam terhadap masyarakat tentang sejarah Kampong Ayer.
Menurutnya lagi, menerusi karya seni itu juga mampu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu sosial dan merupakan salah satu cara untuk menyatupadukan hati masyarakat tanpa mengira latar belakang dan bangsa.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah setiausaha tetap KSSUP, Pesuruhjaya British ke Negara Brunei Darussalam, timbalan setiausaha tetap KSSUP, ketua-ketua jabatan dan para pelukis tempatan.