Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran pelajar tahun akhir serlahkan warisan Brunei

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 7 NOV – Para pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) menonjolkan rasa bangga dan kecintaan terhadap warisan negara melalui paparan budaya dan tradisi yang penuh warna-warni dalam Pameran Projek Tahun Akhir yang berlangsung selama dua hari, dari 5 hingga 6 November di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC), Panaga, Seria.

    Pameran tersebut melibatkan pelajar tahun akhir daripada Program NTec Pembuatan dan Penyelenggaraan, NTec Teknologi Maklumat, serta HNTec Perniagaan (Pengurusan Perniagaan), dengan para pelajar membentuk kumpulan bagi mengetengahkan projek inovatif berasaskan tema Warisan Brunei.

    Pameran tersebut menekankan komitmen berterusan IBTE dalam merapatkan hubungan antara pendidikan dan industri dengan menyediakan platform kepada para pelajar untuk mempamerkan kemahiran teknikal, kreativiti, serta keupayaan keusahawanan dalam menangani cabaran dunia sebenar.

    Ia juga mencerminkan misi IBTE untuk melahirkan graduan yang bersedia bekerja, bukan sahaja kompeten dan inovatif, bahkan beretika serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial Negara Brunei Darussalam.

    Hadir untuk merasmikan pameran dua hari berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, yang disambut oleh pengerusi pameran, Dayangku Syazwani Nur Afida binti Pengiran Mahmud.

    Tetamu kehormat melawat salah satu pameran semasa majlis perasmian berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Sebahagian hadirin melawat salah satu pameran semasa majlis perasmian itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Ucapan disampaikan oleh pengerusi pameran – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Semasa majlis perasmian pada 5 November lalu, Dayangku Syazwani Nur Afida menjelaskan bahawa, “Kita bukan sekadar mempamerkan projek tahun akhir. Kita sedang menyaksikan penzahiran nilai teras IBTE, yang menjadi asas kepada setiap kejayaan yang kita lihat pada hari ini.”

    Beliau turut menyatakan bahawa pameran tersebut menyediakan platform bagi pelajar menerapkan kompetensi teknikal dan keusahawanan dalam menghadapi cabaran sebenar.

    “Pameran ini mencerminkan komitmen kami untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir, tetapi juga beretika, kreatif, dan berupaya memberi sumbangan bermakna kepada kemajuan ekonomi dan sosial Brunei.”

    Sejurus selepas ucapannya, majlis diteruskan dengan tetamu kehormat merasmikan pameran, diikuti dengan penyampaian sijil kepada wakil pelajar daripada setiap program yang mengambil bahagian.

    Tetamu kehormat bersama rakan industri jemputan turut dibawa melawat pameran projek tahun akhir pelajar, memberikan mereka peluang untuk berinteraksi dan meninjau hasil kerja inovatif para pelajar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda