Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran pendidikan AS dilaratkan ke KB

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 9 Feb – Pameran Pendidikan Tinggi Amerika Syarikat (AS) diteruskan lagi ke Sekolah Menengah Sayyidina Ali, di sini, hari ini, dengan menampilkan sebanyak 14 buah perwakilan daripada universiti dan kolej di negara tersebut yang menawarkan pelbagai program pendidikan pada peringkat sarjana muda dan ijazah.

    Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, Catherine Muller ketika ditemui berkata, pameran-pameran yang diadakan itu adalah bagi memberi peluang pelajar-pelajar bertanyakan tentang pengajian tinggi yang terdapat di negara itu, terutama sekali kepada perwakilan daripada universiti dan kolej yang lebih mengetahui tentang keperluan dan sebagainya untuk menuntut di AS.

    “Adalah menjadi peluang terbaik bagi pelajar-pelajar menerusi pameran pengajian tinggi ini untuk mendapatkan maklumat yang perlu kerana mereka boleh berbual dengan perwakilan dari universiti dan kolej yang menyertainya dan adalah juga diharapkan melalui pengetahuan dan kefahaman yang mereka dapatkan pelajar berkenaan akan dapat membuat keputusan terbaik dan menghadapkan permohonan mereka,” katanya.

    Menurutnya, Sambutan Pameran Pendidikan Tinggi AS yang diadakan tahun lalu di sekolah tersebut sangat menggalakkan, selain katanya melalui catatan akademik 2015-2016, terdapat seramai 59 orang pelajar Negara Brunei Darussalam yang menuntut di AS.

    Katanya lagi, pameran yang diadakan di ibu negara kelmarin juga mendapat sambutan yang baik dan ramai kalangan pelajar menunjukkan minat untuk belajar di AS, selain ada juga perwakilan universiti dan kolej yang telah menerima permohonan daripada pelajar-pelajar.

    AS yang dikenali di seluruh dunia mempunyai kemudahan, sumber dan fakulti yang berkualiti, serta mempunyai 5,000 kolej dan universiti yang menawarkan lebih 900 bidang pendidikan.

    Pameran anjuran Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam dan Education USA yang merupakan program kali kedua diadakan itu melibatkan sebanyak 14 buah universiti dan kolej yang terdiri dari Aviation Institute of Maintainance, Central Washington University, Miami University, Wabash Art and Design, Western Michigan University, University of Northen lowa, Temple University, American University, Fairleigh Dickinson University, Creighton University dan LIM College (Sekolah Fesyen dan Perniagaan).

    Pameran itu juga menampilkan wakil-wakil dari Kementerian Pendidikan iaitu Unit Akreditasi, Bahagian Biasiswa dan Pendidikan Tinggi dan ahli-ahli alumni daripada Young Southeast Asian Leader Initiative (YSEALI), Persatuan Alumni Brunei-AS, Persatuan Alumni AS dan wakil-wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda