Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran pendidikan Findlay pada 17 November

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV — Bagi memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka pelbagai pilihan pengajian antarabangsa termasuk peringkat asas, ijazah dan pascasiswazah, Agensi Perkhidmatan Pendidikan Findlay akan menganjurkan Pameran Pengajian Antarabangsa ke-21 pada 17 November ini di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong bermula jam 2 petang hingga 7 malam.

    Pameran kemasukan pengajian dibuka secara percuma kepada orang ramai dan menghimpunkan wakil dari 20 universiti serta kolej dari United Kingdom (UK), Republik Ireland, New Zealand, Malaysia dan Singapura.

    Buat julung kalinya, University College Dublin dari Republik Ireland dan Loughborough University dari UK juga akan turut serta. Kedua-dua universiti berkenaan masing-masing menduduki tangga ke-118 dan ke-225 dalam Kedudukan Dunia QS 2026.

    Turut diperkenalkan tahun ini ialah pameran oleh Allied Health Professions Council yang menumpukan kepada kerjaya dalam beberapa bidang. Pameran tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tentang profesion penjagaan kesihatan, laluan pendidikan berkaitan dan proses pendaftaran profesional.

    Selain itu, pameran berkenaan turut menampilkan penyedia laluan alternatif ke universiti, Penilaian Profil Kerjaya Psikometrik Morrisby bagi membantu pelajar mengenal pasti bidang pengajian dan kerjaya yang sesuai, serta bengkel latihan kebolehpasaran anjuran Findlay.

    Gambar Freepik

    Turut hadir pada pameran berkenaan ialah pegawai dari Majlis Akreditasi Kebangsaan Brunei Darussalam dan Jabatan Pengurusan Biasiswa di Kementerian Pendidikan yang akan menjawab pertanyaan mengenai biasiswa, akreditasi dan syarat kelayakan.

    Dalam pada itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Pendidikan Findlay, Sunita Martin mengatakan bahawa belajar di luar negara dapat membuka pintu peluang, budaya dan kerjaya baharu.

    “Pameran kami menghubungkan pelajar secara langsung dengan universiti dan pakar pendidikan bagi membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat. Moto kami, ‘Membina Masa Depan, Mengubah Kehidupan’ kekal menjadi teras kepada segala usaha kami,” tambahnya.

    Sehubungan itu, pelajar boleh membuat pra-pendaftaran di pautan bit.ly/SFNOV25 bagi kemasukan segera ke pameran dan berpeluang berbincang terus dengan wakil universiti mengenai program pengajian, biasiswa dan kehidupan kampus.

    Manakala bagi pelajar dan ibu bapa yang tidak dapat hadir, mereka masih berpeluang berjumpa wakil universiti terpilih pada keesokan harinya di Pejabat Findlay di Kompleks Abdul Razak, Gadong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda