Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran pendidikan Findlay pada 30 Januari

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Meraikan tahun ke-10 dalam perniagaan, Findlay Education Services bakal menganjurkan Pameran Pengajian Antarabangsa 2024 bagi golongan pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke luar negara.

    Acara yang dinanti-nantikan itu akan diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong pada 30 Januari ini bermula 2 petang hingga 7 malam, di mana pameran berkenaan akan menawarkan pelbagai pilihan dan maklumat bagi membantu lepasan pelajar peperiksaan A Level dan O level dalam membuat keputusan berkaitan pendidikan tinggi mereka.

    Sebanyak 26 wakil dari institusi yang meliputi United Kingdom (UK), Australia, Kanada, Singapura, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) akan hadir semasa pameran tersebut.

    Wakil-wakil berkenaan turut membantu golongan pelajar untuk memberikan nasihat dan bimbingan bagi sama-sama membuka minda mereka berkaitan melanjurkan pengajian di luar negara yang ditawarkan.

    Antara institusi yang mengambil bahagian dari UK termasuklah Aberystwyth University, Coventry University, Bangor University, De Montfort University, Lancaster University, Queen’s University Belfast, University of Birmingham, University of Edinburgh, University of Exeter, University of Liverpool, University of Plymouth, University of Surrey dan University of West England Bristol.

    Gambar Freepik

    Institusi pengajian tinggi di Malaysia yang akan menyertai adalah Universiti Taylor, kampus-kampus Malaysia dari University of Reading dan Curtin University, serta Deakin University turut tampil bagi mewakili Australia, manakala itu, institusi dari Singapura termasuk James Cook University Singapore dan Kanada akan menyaksikan kehadiran University of Alberta.

    Di samping universiti, wakil penyedia laluan pendidikan ke peringkat universiti turut hadir iaitu dari CATS Global Schools, INTO University Partnerships, Anglia Ruskin University College, ONCAMPUS UK dan Navitas, yang bekerjasama dengan 15 buah universiti di UK, Jerman dan Belanda serta tujuh buah universiti di seluruh Kanada dan AS.

    Pengarah Urusan Findlay, Sunita Martin berkata bahawa Findlay terus menawarkan pelbagai pilihan bagi memenuhi semua pencapaian akademik. Belajar di luar negara dapat memupuk pertumbuhan peribadi pelajar-pelajar dan membuka pintu kepada prospek masa depan yang menarik.

    “Peserta akan mendapat maklumat berharga dan bimbingan dalam membantu mereka membuat keputusan yang dimaklumi untuk meletakkan asas yang kukuh bagi masa depan kejayaan mereka,” ujarnya.

    Dalam pada itu, pameran juga akan mempamerkan Penilaian Profil Kerjaya Psikometrik Findlay yang mana pelajar akan mendapati ia sesuatu yang amat berguna bagi mempertimbangkan pilihan pengajian dan kerjaya atau untuk mengesahkan pilihan pembelajaran mereka.

    Bengkel Latihan Pekerjaan Findlay dalam penulisan CV, temu duga berkesan, pembentangan-pembentangan kemahiran dan menarik serta pengucapan awam juga akan diadakan.

    Sementara itu, maklumat khusus negara juga akan tersedia daripada pegawai dari British Council dan StudyUK, Austrade’s StudyAustralia, USA’s EducationUSA dan BUSA Association.

    Di samping itu, pusat bagi guru-guru British akan bersedia untuk memberikan maklumat tentang ujian bahasa Inggeris IELTS dan Bank Baiduri akan mempamerkan pinjaman pendidikan dan akaun bank pelajar antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda