Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Dengan vaksinasi COVID-19 yang semakin meningkat di Brunei dan di seluruh dunia, pengajaran dan pembelajaran normal dan bersemuka akan dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, syarikat perkhidmatan pendidikan Findlay Sdn Bhd akan mengadakan pameran pendidikan maya Findlay The Study Fair pada 7 hingga 9 Julai depan.
Menurut kenyataan yang diterima di sini, hari ini, lebih 30 wakil universiti dari United Kingdom, Australia, Malaysia dan Singapura akan bersedia untuk membincangkan pilihan ijazah, syarat kemasukan, kaedah pengajaran, pengalaman pelajar, pengaturan penginapan dan sebagainya.
Acara berkenaan terbuka untuk semua calon pelajar yang ingin belajar di luar negara antara sekarang dan 2023, termasuk penerima tawaran yang ingin mendapatkan lebih penjelasan mengenai tawaran mereka atau yang sedang mempertimbangkan untuk mengubah
kursus mereka.
Pengarah Urusan Findlay, Sunita Martin dipetik berkata, UK dan Singapura sudah membuka pembelajaran teradun kepada pelajar antarabangsa.
“Secara umum, pembelajaran teradun bermaksud tutorial, seminar dan sesi makmal yang diajar secara langsung dan kuliah besar yang diajar dalam talian,” jelas beliau.
Kenyataan menyatakan, pelajar boleh menghadiri temu janji melalui Zoom dari rumah mereka sendiri, menggunakan komputer, tablet atau telefon bimbit untuk keselesaan mereka, dan ibu bapa juga boleh menyertai perbualan jika mereka mahu.
Sekiranya perlu, pelajar juga boleh datang ke Findlay untuk menggunakan jaringan WiFi untuk temu janji mereka.
Untuk menempah temu janji, pelajar perlu membuat pra-pendaftaran dengan Findlay terlebih dahulu dan apabila pertemuan telah disahkan, pautan akan dihantar kepada pelajar untuk digunakan pada waktu dan hari yang ditetapkan.